Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BELAIT, Khamis, 2 April. - Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Bagi Tahun 2026 telah diadakan secara serentak di keempat-empat buah daerah.
Di Daerah Belait, tumpuan majlis tersebut berlangsung di Masijd Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud, dan seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari juz pertama oleh peserta-peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili Sekolah-sekolah Arab, Sekolah-sekolah Ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi.
Terdahulu itu, majlis didahului dengan Sembahyang Fardu Asar yang diimamkan oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith.
Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam ini diadakan adalah sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan nikmat-Nya jua menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
Di samping itu juga, bagi memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat walafiat serta mendapat taufiq dan hidayah serta inayah daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat; dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.
Juga hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Ke-80 Bagi Tahun 2026, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku-pemangku penghulu mukim, pemangku-pemangku ketua-ketua kampung, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan daerah, pegawai-pegawai hal ehwal masjid, ahli-ahli Takmir Masjid dan anak-anak buah kampung.