Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 1 April. - Sambutan Hari Raya dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan semua insan. Oleh itu, suasana berkenaan perlu diadakan dan diraikan dengan jiwa yang terbuka dan melahirkan ukhuwah sesama insan di sekeliling kita.
Pegawai-pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) juga tidak ketinggalan dalam mengadakan Sambutan Hari Raya bagi tahun 2026. Sambutan berkenaan bertujuan bagi menjalin dan mengeratkan silaturahim dan meningkatkan budaya kerja yang cemerlang dalam kalangan para pegawai dan kakitangan di Ibu Pejabat PGGMB sebagai barisan hadapan persekutuan berkenaan.
Hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Raya berkenaan, Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad; Pengerusi Tetap PGGMB, Dayang Hajah Hanipah bnti Haji Apong; Setiausaha Agung PGGMB, Awang Yakub bin Haji Abd. Rahman; Timbalan-timbalan Setiausaha Agung (Luar dan Dalam Negeri), Timbalan Setiausaha Kewangan, Pegawai Pemeriksa Kira-kira PGGMG dan kakitangan Ibu Pejabat PGGMB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran dipimpin oleh Timbalan Yang Dipertua PGGMB. Diikuti dengan penyampaian pertukaran cenderamata dan pertandingan pakaian tercantik bagi lelaki dan perempuan.
Alhamdulillah, sambutan berkenaan sangat signifikan bagi pegawai dan kakitangan walaupun dalam suasana yang sederhana. Selain itu, ia dapat menjalin suasana keharmonian dan setiakawan dalam kalangan pegawai dan kakitangan PGGMB.