Meneroka penggunaan teknologi AI secara bertanggungjawab, beretika



Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






TUNGKU LINK, Rabu, 1 April. – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) telah menganjurkan sebuah forum bertajuk 'AI in Academia and Office: The Responsible Way Forward' yang berlangsung di Senate Room, Chancellor Hall, universiti berkenaan, pagi tadi.


Forum berkenaan menyediakan platform bagi perbincangan bermakna mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin berkembang dalam persekitaran akademik dan profesional.


Seiring dengan perkembangan pesat teknologi AI, forum berkenaan turut meneroka bagaimana penggunaan teknologi berkenaan dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab dan beretika dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta amalan di tempat kerja.


Majlis telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat majlis, Timbalan Naib Canselor UBD, Profesor Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman.


Turut menyampaikan ucapan alu-aluan, Dekan UBDSBE, Dr. Wardah Azimah binti Haji Sumardi yang antara lain menekankan kepentingan penggunaan AI secara bertanggungjawab di samping mengekalkan pemikiran kritis, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan profesional masa depan.


Forum berkenaan merupakan hasil kerjasama antara UBDSBE Strategic, Dynamics and Innovation Research Cluster bersama modul Pengurusan Projek yang dikendalikan oleh pelajar.


Forum berkenaan menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri serta pelajar bagi berkongsi pandangan mengenai peluang dan cabaran dalam penggunaan AI secara bertanggungjawab.


Sepanjang forum separuh hari berkenaan, para peserta telah mengikuti sesi perbincangan panel yang menampilkan penceramah jemputan daalam kalangan akademik dan industri, diikuti sesi soal jawab interaktif.


Antara panel jemputan ialah Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AICREATIVV, Awang Md. Imamull Qhaeer bin Md. Syamsol; Penolong Profesor dalam bidang Robotik Pintar, Fakulti Sains Digital, UBD, Dr. Ajaz Ahmad Bhat; serta Arkitek Penyelesaian (Data & AI) di Dynamik Technologies, Yip Chong.


Sesi berkenaan dikendalikan oleh Dr. Haji Mohamad Nabil Almunawar dari UBDSBE, yang turut memudah cara perbincangan berkaitan masa depan AI dalam pembelajaran dan persekitaran profesional.


Penganjuran forum berkenaan mencerminkan komitmen UBDSBE dalam menggalakkan dialog kritikal mengenai teknologi baharu serta impaknya terhadap pendidikan dan masyarakat, di samping menekankan kepentingan keseimbangan antara inovasi dan tanggungjawab etika.


Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi UBDSBE di 'www.sbe.ubd.edu.bn'.

Close