7 penghulu, 14 ketua kampung baharu terima sijil lantikan



Oleh : Aimi Sani / Foto : Azmah Haji Ahad






BERAKAS, Rabu, 1 April. - Peranan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung pada hari ini telah berubah dengan jelas iaitu selari dengan perubahan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang telah dikuatkuasakan.


Secara ringkasnya tujuan utama Skim Perkhidmatan ini ialah bagi mempertingkat, memperkukuh dan memantapkan lagi kewibawaan, kualiti kepimpinan serta keberkesanan Institusi Penghulu dan Ketua Kampung sebagai teras kepimpinan akar umbi.


Kepimpinan ini adalah penting dalam sama-sama menangani cabaran merealisasikan Wawasan Brunei 2035.


Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Daerah Brunei dan Muara (DBM) bertempat di Dewan Teater, Jabatan DBM, di sini.


Wawasan Brunei 2035 terangnya, adalah aspirasi negara yang memerlukan sokongan padu serta penglibatan aktif seluruh rakyat dalam menjayakan dasar dan inisiatif kerajaan.


Penyertaan masyarakat melalui program kemasyarakatan, pembangunan kampung dan pelaksanaan projek kebajikan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pencapaian matlamat tersebut.


Sehubungan itu jelasnya, usaha memelihara keamanan dan keharmonian bukan sahaja terletak pada pihak kerajaan, malah menjadi tanggungjawab bersama setiap rakyat dan penduduk.


Dalam usaha mencapai Wawasan Brunei 2035, Awang Abdul Walid seterusnya mengongsikan KHEDN telah melaksanakan Petunjuk Prestasi Utama (KPIs) serta memperkenalkan Rangka Kerja Kompetensi Sumber Manusia (HRCF PMKK).


Ini bagi memastikan penghulu mukim dan ketua kampung memiliki tahap prestasi, kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk berperanan secara berkesan sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan dalam menjaga, memelihara serta mengawasi kepentingan, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan penduduk di mukim dan kampung.


Kesemua inisiatif ini katanya, bertujuan agar memastikan kepimpinan akar umbi yang berwibawa, berkesan dan responsif dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035.


Tambahnya, dengan memahami dan melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi, setiap penyandang jawatan boleh memainkan peranan penting sebagai pemacu transformasi dan kesejahteraan di mukim dan kampung masing-masing.


Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan sijil-sijil lantikan kepada tujuh orang penghulu dan 14 orang ketua kampung yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan bacaan ikrar dari Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung yang diraikan.


Juga hadir ialah Pemangku Pegawai DBM, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan JDBM.


Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) berserta rombongan KHEDN dan Jabatan DBM kemudiannya bertolak ke rumah Penghulu Mukim Zon 1, Kampung Burong Pingai Ayer bagi merasmikan papan tanda Penghulu Mukim.


Seterusnya tetamu kehormat dan rombongan bergerak ke Mukim Pengkalan Batu bagi merasmikan papan tanda Penghulu Mukim Pengkalan Batu dan diikuti ke rumah Penghulu Mukim Kilanas.


Acara perasmian papan tanda di beberapa buah rumah Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung seterusnya disambung oleh Pemangku Pegawai DBM berserta rombongan mengikut jadual tarikh serta waktu yang telah ditetapkan.


Perasmian papan tanda di kediaman ketua-ketua kampung yang telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Penghulu-penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung akan diteruskan lagi pada Rabu, 8 April 2026.

Close