6 individu ditahan jalankan kegiatan dinilai menjejaskan keselamatan negara




Siaran Akhbar : Jabatan Keselamatan Dalam Negeri





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 30 Mac. – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) telah mengenakan Perintah Tahanan di bawah Bab 3(1) (a) Akta Keselamatan Dalam Negeri, Penggal 133 ke atas enam individu rakyat tempatan kerana menjalankan kegiatan-kegiatan yang dinilai menjejaskan keselamatan negara.


Hasil siasatan JKDN mendapati Mohammad Aizan bin Mat Zaini dan Haji Bahrum bin Haji Ludin yang keduanya berperanan sebagai ejen ‘freelance’ yang tidak berdaftar telah bersekongkol dan bersubahat dengan empat orang Pegawai Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) iaitu Sohardi bin Samad, Haji Jaludin bin Haji Jumat, Ramli bin Haji Abu Bakar dan Mohammad Faizal bin Haji Ishak dalam melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara dan peraturan-peraturan JIPK.


Keenam-enam individu tersebut telah terbukti terlibat dalam membantu warga asing melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana tinggal lebih masa di negara ini atau kerana mempunyai dokumen perjalanan yang telah mansuh atau tidak sah.


Mereka juga didapati telah menggunakan cap-cap palsu dan cap-cap rasmi JIPK secara tidak sah serta telah mengenakan caj atau menerima wang imbuhan daripada warga asing berkenaan.


Kegiatan mereka ini selain berpotensi untuk melemahkan dan menjejaskan keselamatan negara, ia juga akan menjejaskan imej, integriti dan kredibiliti JIPK sebagai salah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan sebagai ‘first line of defence’ negara dalam mengawal aktiviti keluar masuk orang ramai serta keberadaan warga asing di negara ini.


Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini jika tidak dibanteras, akan membukakan peluang kepada anasir-anasir jahat yang lain untuk mudah menyusup masuk dan ke luar negara ini tanpa mengikut undang-undang.


Selain itu, ia berpotensi membukakan ruang bagi jenayah terancang seperti sindiket-sindiket pemerdagangan manusia, pengedaran dadah atau penyeludupan barang-barang tegahan dan kemasukan penjenayah-penjenayah dari luar negara untuk bertapak di negara ini dan menjadikan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai tempat menjalankan kegiatan jenayah atau sebagai tempat persembunyian.


Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperingatkan kepada orang ramai dan lebih-lebih lagi kepada pegawai dan kakitangan kerajaan bahawa kerajaan akan tetap komited dan serius dalam menegakkan undang-undang dan menangani isu integriti dalam Perkhidmatan Awam.


Pihak kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana anasir jahat yang cuba mempergunakan dan memperlekehkan undang-undang NBD dan menjejaskan keselamatan negara.


JKDN ingin mengingatkan dan menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dengan menyalurkan apa jua maklumat atau risikan yang boleh mengancam keselamatan negara.


Orang ramai bolehlah menyalurkan apa jua maklumat berhubung isu-isu yang dinilai boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini dengan menghubungi Hotline JKDN menerusi Talian 133 atau melaporkan terus ke mana-mana cawangan JKDN di negara ini.

Close