Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menjelaskan bahawa permohonan kewarganegaraan tidak dianggap tidak berjaya, selagi mana permohonan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Kongsi Yang Berhormat, antara syarat-syarat tersebut memenuhi tempoh bermastautin di negara ini sepertimana yang telah ditetapkan, memenuhi tempoh perkahwinan bagi kategori tertentu, memenuhi tempoh pemegang taraf penduduk tetap, lulus ujian bertulis dan ujian lisan bahasa Melayu serta lulus tapisan keselamatan.
“Selagi syarat-syarat tersebut dipenuhi, permohonan akan terus diproses mengikut prosedur yang ditetapkan. Alhamdulillah, sepanjang tempoh tahun 2022 hingga Mac 2026, sebanyak 7,477 permohonan taraf kerakyatan telah mendapat kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi rakyat baginda sama ada secara penuangan dan pendaftaran," jelas Yang Berhormat semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Daripada jumlah tersebut, tambah Yang Berhormat, tahun 2025 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 2,979 permohonan yang melebihi purata tahunan bagi tempoh berkenaan.
Menurut Yang Berhormat lagi, secara keseluruhannya, permohonan di bawah Bab 61 iaitu kategori ibu warganegara mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,356 permohonan berbanding kategori-kategori lain.
Sementara itu, tambah Yang Berhormat, kategori di bawah Bab 51 dan Bab 81 iaitu melalui ujian bertulis turut merekodkan jumlah yang signifikan iaitu sebanyak 2,973 permohonan.
“Dari segi proses semasa, beberapa permohonan masih di peringkat penilaian termasuk temu duga, ujian, tapisan keselamatan serta semakan dokumen sokongan. Sebagai contoh, bagi kategori Bab 61 dan Bab 56, yang melibatkan permohonan melalui hubungan kekeluargaan sebanyak 655 permohonan sedang melalui proses penilaian jabatan termasuk temu duga, tapisan serta semakan dokumen.
“Manakala bagi kategori Bab 51 dan Bab 81 yang melibatkan permohonan melalui ujian bertulis dan ujian lisan, sejumlah 1,836 permohonan masih dalam peringkat menunggu keputusan ujian serta proses tapisan yang berkaitan," terang Yang Berhormat.
Secara keseluruhannya, ujar Yang Berhormat, proses penilaian permohonan kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, berperingkat dan selaras dengan peruntukan undang-undang iaitu Akta Taraf Kebangsaan Brunei Penggal 15 yang berkuat kuasa bagi memastikan setiap permohonan dipertimbangkan secara adil serta memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan.
Terdahulu, jelas Yang Berhormat, sukacita menjelaskan bahawa pada dasarnya tidak ada cabaran utama dalam memproses penilaian permohonan kewarganegaraan memandangkan terma dan syarat adalah jelas, telus dan berlandaskan kepada peraturan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.