Pendekatan bersepadu kukuhkan keselamatan kebakaran di Kampong Ayer



Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mac. - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman mengongsikan bahawa Balai Bomba Kampong Ayer, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) sentiasa memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum selaras dengan amalan terbaik di negara-negara jiran.


Setiap bot bomba turut dilengkapi dengan sekurang-kurangnya satu pam mudah alih bagi memastikan kesiapsiagaan dalam menangani kebakaran struktur di kawasan berkenaan.


Yang Berhormat seterusnya berkata keseluruhan bagi dua balai yang meliputi Kampong Ayer, kawasan Kampong Ayer aset utama yang tersedia adalah terdiri daripada dua buah jentera, lima buah pam mudah alih, 137 hos dan 22 'nozzles'.


Perkara tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada perbahasan hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin, sebagai respons jawapan kepada Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas berkenaan dengan persediaan Balai Bomba Kampong Ayer dari segi bot, keupayaan pemadaman, latihan kru, masa respons, liputan operasi serta perancangan penambahan aset, penyelenggaraan, keselamatan kru dan koordinasi antara agensi untuk menangani kebakaran di Kampong Ayer.


Menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, kecekapan anggotanya yang bertindak dengan pantas memberikan impak positif dalam operasi kecemasan. Dari segi masa tindak balas iaitu Petunjuk Prestasi Utama, KPI JBP menetapkan masa tindak balas tidak melebihi 20 minit termasuk bagi kawasan yang paling jauh di Kampong Ayer.


“Hasil latihan menunjukkan masa tindak balas ke Kampung Sungai Bunga dari Balai Bomba Sungai Kebun iaitu lokasi yang paling jauh adalah sekitar 20 minit. Manakala bagi Kampung Burung Pingai Ayer dari Balai Bomba Pelancaran, Bandar Seri Begawan adalah sekitar 5 minit tertakluk kepada keadaan pasang surut air di Sungai Brunei," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat menambah lagi bahawa JBP turut melaksanakan pendekatan penglibatan komuniti dengan melatih pemimpin akar umbi serta penduduk Kampong Ayer sebagai First Responder.


“Pendekatan ini bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas mengenai kecemasan kebakaran serta kemahiran pemadaman api bagi membantu menangani sebarang insiden kebakaran sementara menunggu ketibaan Pasukan Bomba," tambah lagi Yang Berhormat.


“Di samping itu pembekalan peralatan pemadam api seperti hos dan 'nozzle' juga telah dilaksanakan kepada beberapa kawasan termasuk Mukim Saba, Mukim Sungai Kebun, Kampung Bolkiah 'A', Kampung Bolkiah 'B', Kampung Saba dan Kampung Menunggol," terang Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga memaklumkan sebagai langkah tambahan dalam memperkukuhkan keselamatan kebakaran di kawasan tersebut, sebanyak 30 pili bomba juga telah diganti di beberapa lokasi di Kampong Ayer termasuk Kampung Pandai Besi, Kampung Tamoi Hujung, Kampung Setia 'A' dan Kampung Setia 'B' bagi memastikan bekalan air yang mencukupi semasa operasi pemadaman kebakaran.


Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan juga akan terus menilai keperluan penambahan dari semasa ke semasa termasuk dari segi penambahan aset, peningkatan keupayaan operasi, penyelenggaraan infrastruktur, keselamatan kebakaran serta pemerkasaan program kesedaran dan latihan komuniti bagi memastikan tahap keselamatan dan kawasan Kampong Ayer berada pada tahap yang tinggi.


Close