Berkenan sertai Brunei Food Run 2026



Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah / Foto : Ihsan Fadillah Salleh





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 29 Mac. - Brunei Food Run 2026 yang pertama kali dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan makanan tempatan, memberi sokongan usahawan tempatan dan juga memperkenal konsep larian bertemakan makanan sekali gus untuk mengeratkan silaturahim antara keluarga dan persahabatan. 


Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyertai Brunei Food Run 2026 yang diadakan di kawasan BIBD Connects Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, pagi tadi. 


Berangkat sama, anakanda-anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.


Menurut Dayang Fadillah Salleh selaku penyelaras acara berkenaan mengongsikan bahawa tema larian berkonsepkan makanan, santai bersama keluarga dan kawan-kawan itu lebih memfokuskan kepada komuniti, keseronokan dan pengalaman unik.


Acara bermula dengan ketibaan tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.


Seterusnya diikuti sesi pemanasan badan dan Flag-Off yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis. Brunei Food Run 2026 diserikan lagi dengan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis bagi Kategori Pakaian Tercantik.


“Mengutamakan kebersihan serta menghargai makanan dan semangat penyertaan," ujar Dayang Fadillah Salleh dalam mengutarakan harapannya terhadap penganjuran program tersebut. Brunei Food Run 2026 dianjurkan oleh Dayang Fadillah Salleh bersama Lab Klothing Co, Anta Sports, Alan's Churros dan Isotonic C1000 ditaja oleh Hui Huang Enterprise.


Close