Rumah Terbuka eratkan ukhuwah perpaduan



Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Mac. - Rumah Terbuka atau Open House memang sudah sinonim dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kita sambut termasuk di negara ini sebagai undangan tuan rumah kepada mereka yang dijemput.


Jemputan Rumah Terbuka itu juga sekali gus menandakan kelapangan tuan rumah sedia untuk dikunjungi memandangkan masa berkunjung-kunjungan adalah begitu terhad dengan kesibukan dan komitmen masing-masing.


Justeru, dengan adanya konsep Rumah Terbuka pemudah cara bagi semua sanak saudara, sahabat handai, rakan taulan untuk bertemu dan saling bermaaf-maafan antara satu dan yang lain.


Keunikan Rumah Terbuka ini juga dapat menyatupadukan pada mereka yang jarang sekali bersua muka dan dari itu merapatkan lagi jurang dan hubungan yang jauh dalam satu tempat.


Selain itu, Rumah Terbuka ini juga merupakan tanda syukur atas kelebihan rezeki yang dikurniakan sekali gus berbagi sebagai sedekah demi mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata'ala jua.


Tuan rumah tersebut setentunya sudah mengehadkan masa tertentu dan kita sebagai tetamu yang diundang wajar mengikuti waktu yang ditetapkan dan elakkan bertandang berjam-jam lamanya di rumah orang bagi memberi ruang kepada para tetamu yang lain.


Adab berkunjung juga harus dititikberatkan semasa bertandang di rumah orang bak kata istilahnya 'butakan mata' kepada perkara yang tidak perlu dan 'bisukan telinga' mendengar apa-apa yang tidak berfaedah.


Oleh yang demikian, kita yang memenuhi jemputan rumah terbuka seharusnya mendoakan kebaikan yang baik-baik kepada mereka sekeluarga di samping tidak lupa bersalaman untuk memohon kemaafan zahir dan batin bagi sesama muhrim.

 

Close