Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Mac. - Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan sumber air bersih sentiasa berkekalan dan terjaga.
Amalan berjimat cermat ketika menggunakan air di rumah bukan sahaja dapat mengurangkan bil bulanan, malah menyumbang kepada usaha negara dalam memelihara sumber alam. Sumber air bersih adalah anugerah yang tidak ternilai.
Namun, tabiat membazir seperti membiarkan paip terbuka ketika menggosok gigi atau membasuh kenderaan secara berlebihan boleh menyebabkan pembaziran yang ketara.
Setitis air yang dibazirkan, jika dibiarkan, akan menjadi jumlah yang besar - seperti mana pepatah Melayu, “Sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit".
Terdapat pelbagai cara mudah untuk mengamalkan penjimatan air.
Pertama, periksa paip dan saluran air secara berkala bagi mengelakkan kebocoran, titisan air dari paip yang bocor boleh membazirkan beratus-ratus liter air dalam sebulan.
Kedua, gunakan mesin basuh dengan muatan penuh, cara ini lebih efisien berbanding membasuh pakaian dalam kuantiti sedikit tetapi kerap.
Seterusnya, pasang 'shower head' yang cekap air dan hadkan masa mandi tidak melebihi lima hingga sepuluh minit.
Selain itu, air basuhan beras atau air bilasan pakaian yang terakhir boleh dikumpul semula untuk menyiram pokok atau membersihkan laman.
Di dapur, gunakan bekas untuk mencuci sayur dan buah, bukannya membiarkan air paip mengalir berterusan. Pendidikan tentang kepentingan penjimatan air perlu diterapkan dalam kalangan ahli keluarga sejak kecil.
Ibu bapa boleh menjadi contoh teladan dengan menunjukkan cara menggunakan air secara berhemah. Kesedaran awam yang tinggi adalah kunci kejayaan pemuliharaan air.
Dengan mengamalkan budaya berjimat di rumah, setiap keluarga secara tidak langsung membantu memastikan bekalan air bersih kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Marilah kita bersama-sama menjadikan penjimatan air sebagai satu amalan hidup yang murni.