Kehidupan sejahtera dengan mengamalkan gaya hidup sihat




Oleh : Aimi Sani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Mac. - Setiap individu memerlukan mental yang sihat, merangkumi perasaan gembira dan sejahtera, berupaya menghadapi pelbagai cabaran hidup juga mempunyai sikap positif terhadap diri sendiri.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan mental sebagai keadaan kesejahteraan, di mana setiap individu menyedari potensinya sendiri juga dapat mengatasi tekanan hidup yang normal, dapat bekerja dengan produktif, selain dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat.


Individu yang mempunyai kesihatan mental yang baik mampu berfikir secara rasional, mengawal emosi serta berinteraksi dengan orang lain secara positif, namun begitu dalam era moden yang penuh dengan tekanan, ramai individu mudah terjejas dari segi mental.


Oleh itu, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk menjaga kesihatan mental agar kehidupan menjadi lebih sejahtera. Salah satu cara utama untuk menjaga kesihatan mental ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.


Seseorang perlu mendapatkan tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari, ini kerana tidur yang berkualiti dapat membantu merehatkan minda dan meningkatkan keupayaan untuk berfikir dengan jelas.


Selain itu, pemakanan yang seimbang seperti pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berkhasiat juga penting untuk memastikan tubuh dan minda sentiasa sihat.


Aktiviti senaman seperti berjoging, berenang atau bersenam di gim dapat membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan hormon endorfin yang membuatkan seseorang berasa gembira. Di samping itu, sokongan sosial juga turut memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kesihatan mental.


Individu digalakkan untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, di mana hubungan yang baik dengan orang sekeliling dapat memberikan sokongan emosi serta membantu seseorang menghadapi cabaran hidup dengan lebih tabah.


Seperti bak kata Pepatah Melayu ada mengatakan, 'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', yang menggambarkan kepentingan berkongsi masalah bersama orang lain. Dengan berkongsi perasaan, seseorang tidak akan berasa keseorangan dalam menghadapi tekanan.


Akhir sekali, mendapatkan bantuan profesional tidak harus dipandang remeh. Jika seseorang mengalami tekanan yang berpanjangan atau masalah emosi yang serius, mereka disarankan untuk berjumpa dengan kaunselor atau pakar psikologi.


Bantuan profesional dapat memberikan panduan dan sokongan yang diperlukan untuk mengatasi masalah mental dengan lebih berkesan, sikap terbuka dalam mendapatkan bantuan adalah langkah yang bijak dan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan.


Kesimpulannya, kesihatan mental perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap individu. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, mendapatkan sokongan sosial, mengurus masa dengan baik, melibatkan diri dalam aktiviti positif serta mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan, kita dapat memastikan kesejahteraan mental sentiasa terpelihara.


Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada mengubati dan usaha menjaga kesihatan mental harus bermula dari diri sendiri.

Close