Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Mac. - Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardu yang diwajibkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.
Pastinya Ramadan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketakwaan.
Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para solihin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadan.
Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah Puasa Enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baharu.
Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan Puasa Enam pada bulan Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun. Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Antara hikmah dan manfaat puasa enam hari di bulan Syawal ialah sebagai pelengkap dan penyempurna pahala daripada puasa setahun penuh, setelah menunaikan puasa Ramadan.
Untuk menutupi kekurangan puasa wajib pada bulan Ramadan, sebab puasa yang kita lakukan pada bulan Ramadan pasti tidak terlepas daripada kekurangan atau dosa yang dapat mengurangi keutamaannya.
Pada Hari Kiamat kelak akan diambil pahala puasa sunat berkenaan untuk menutup kekurangan puasa wajib. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud yang bermaksud:
''Amal ibadah yang pertama kali dihisab pada Hari Kiamat adalah sembahyang. Allah Subhanahu Wata'ala berkata kepada malaikat sedang Dia Maha Mengetahui tentangnya periksalah ibadah sembahyang hamba-hamba-Ku, apakah sempurna atau kurang. Jika sempurna, maka pahalanya ditulis dengan sempurna. Jika kurang, maka Allah memerintahkan malaikat, periksalah apakah hamba-Ku itu mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat? Jika ia mengerjakannya, maka tutupilah kekurangan sembahyang wajibnya dengan sembahyang sunat. Begitu pulalah dengan amal-amal ibadah lainnya".
Natijah daripada amalan berpuasa ialah takwa dan kasih kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Tanda kasih kepada Allah Subhanahu Wata'ala ialah dengan berkhidmat kepada-Nya. Sesiapa yang mencintai Allah Subhanahu Wata'ala dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Sebagus mana kelazatan dunia tetap tidak kekal. Ia berakhir sebaik sahaja kita menemui ajal. Sebaliknya, kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.
Di samping membawa pelbagai keberkatan, Puasa Enam adalah salah satu cara untuk mengekalkan momentum ketakwaan yang diperoleh semasa bulan Ramadan, selain membersihkan diri daripada dosa serta mengikut sunnah Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Oleh itu, marilah kita sama-sama merebut peluang untuk melaksanakan amalan berpuasa enam pada bulan Syawal ini untuk meraih keberkatan dan meningkatkan lagi pahala serta mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala.