Berita dan Foto : Ihsan Pengiran Haji Mohd. Jaafar Pengiran Damit
MENTIRI, Ahad, 22 Mac. - Dalam menyemarakkan kedatangan Hari Raya Aidilfitri, satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan khusus bagi membantu golongan yang memerlukan di Mukim Mentiri.
Sumbangan tersebut diberikan kepada lebih 260 penerima termasuk anak-anak yatim dan mualaf, orang berkeperluan khas serta ibu-ibu tunggal sebagai usaha berkongsi kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri, Awang Haji Nizam bin Haji Julaihi; Pemilik Syarikat D Mas Jaffre, Pengiran Haji Mohd. Jaafar bin Pengiran Damit serta Pengarah Urusan, Saibudeen Mohd. Jameel.
Pengiran Haji Mohd. Jaafar berkata program tahunan tersebut bertujuan memberi peluang kepada para penerima untuk bersama-sama menikmati kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Hari kemenangan umat Islam ini wajar diraikan dengan penuh kesyukuran. Sumbangan yang disampaikan adalah sebagai tanda keprihatinan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan diharapkan mereka dapat turut sama merasai kegembiraan sambutan Hari Raya," jelas beliau pada majlis yang berlangsung di Kampung Mentiri.
Tambahnya, inisiatif berkenaan juga menjadi medium untuk menyebarkan kegembiraan, kasih sayang serta keberkatan Hari Raya kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Majlis ini merupakan satu usaha murni dalam meringankan beban penerima, khususnya dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri.