Siaran Akhbar : Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
GENEVA, Isnin, 23 Mac. - Terdapat banyak Hari-hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Jadi mengapa hari ini penting? Ini adalah disebabkan pada hari ini kita meraikan komuniti Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) dan peranannya dalam menyelamatkan nyawa serta khidmatnya kepada masyarakat.
Mari kita lihat dengan lebih dekat. Salah satu soalan yang paling kerap ditanya ialah “Apakah keadaan cuaca yang akan berlaku nanti?". Orang ramai mengambil mudah dengan mendapatkan jawapannya melalui telefon bimbit dan televisyen mereka.
Di sebalik setiap ramalan, terdapat berjuta pencerapan yang telah diproses di dalam rangkaian antarabangsa yang unik yang diselaraskan oleh WMO. Sistem pencerapan global WMO membantu dalam membuat keputusan yang bernilai berbilion-bilion.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Setiausaha Agung, Profesor Celeste Saulo dalam perutusan sempena Hari Kaji Cuaca Sedunia 2026 dengan tema 'Pantau Hari Ini, Lindungi Hari Esok'.
Jelas Profesor Celeste Saulo lagi, dari laluan penerbangan ke perlindungan banjir, dari perancangan tenaga ke pengurusan kesihatan dan dari penanaman tanaman ke pelaburan infrastruktur. Ia menghasilkan ramalan dan amaran awal yang menyelamatkan ribuan nyawa.
“Oleh itu, saya gembira bahawa tema Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini ialah 'Pantau Hari Ini, Lindungi Hari Esok'. Kerana apabila kita membuat pemantauan pada hari ini, kita tidak hanya meramal cuaca, kita juga melindungi hari esok.
“Hari esok bagi manusia sejagat. Hari esok bagi planet ini. Dan itulah sebabnya kenapa golongan muda pada hari ini amat penting kerana merekalah pelindung masa hadapan. Kami memerlukan tenaga awda, inovasi awda dan kemahiran awda," ujarnya.
Profesor Celeste Saulo seterusnya berkata, kita hidup di dalam era kemajuan teknologi yang hebat. Namun, kita mesti sama rata memberi peluang dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
Kita tambahnya, perlu merapatkan jurang dalam data dan pencerapan. Dan kita mesti ingat bahawa Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) bergantung kepada kecerdasan manusia.
“Pada Hari Kajicuaca Sedunia ini, saya dengan ini ingin merakamkan penghargaan kepada ribuan insan dalam komuniti WMO, iaitu pemerhati-pemerhati kaji cuaca di lokasi-lokasi terpencil dan sunyi, ahli-ahli kaji cuaca yang melepaskan belon cuaca dua kali sehari, setiap hari, ahli-ahli hidrologi yang memantau sungai-sungai pada waktu subuh, peramal-peramal cuaca yang berjaga sepanjang malam.
“Ahli-ahli oseanografi yang berani menghadapi ombak, jurutera-jurutera yang membaiki stesen-stesen cuaca selepas mengalami ribut, juruteknik-juruteknik satelit yang mengekalkan pandangan kita di langit, ahli-ahli klimatologi yang membantu kita untuk memahami masa lalu dan bersiap-sedia untuk masa hadapan, dan pemproses-pemproses komputer yang memproses dan berkongsi data," jelasnya lagi.
Profesor Celeste Saulo juga berkata, “Kita lebih daripada sekadar peramal cuaca. Bersama-sama, kita menyediakan perkhidmatan awam global untuk kebaikan awam global. Bersama-sama, kita memantau hari ini dan melindungi hari esok".
“Saya mengucapkan terima kasih kepada awda semua. Sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Kaji Cuaca Sedunia," ujarnya mengakhiri perutusan.