Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Mac. - Merupakan suatu kelaziman pada setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah bersama para pembesar negara serta diplomat dari negara-negara sahabat diadakan sebagai tradisi yang memupuk dan mengukuhkan lagi jalinan silaturahim dengan baginda raja yang dikasihi.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman bukan sahaja mencerminkan kemuliaan penghormatan yang dipersembahkan, bahkan turut menghadirkan pengalaman yang penuh kegembiraan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh para pembesar negara serta ketua-ketua perwakilan asing.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei melahirkan penuh rasa syukur dan ikhlas dengan merafakkan sembah setinggi-tinggi ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta seluruh kerabat diraja bersempena dengan Syawal 1447 Hijrah.
Menurut Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama lagi, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amatlah berharga dan menjadi panduan buat kita semua.
Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan turut merasa terkesan dengan saudara-saudara seagama di luar negara yang sedang dizalimi dan berada dalam keadaan yang menyayat hati - kehilangan keluarga, anak, ibu bapa, bahkan harta benda.
"Kita selaku umat Islam, perlulah prihatin. Walaupun usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan telah membantu, namun kesengsaraan tetap berlaku akibat peperangan, bencana alam, dan yang paling menyedihkan adalah apa yang berlaku di Palestin," ujar Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menambah bahawa keadaan terkini amat membimbangkan, sehingga turut menjejaskan hubungan sesama negara Islam.
"Jadi apa yang mampu kita lakukan sekarang adalah doa. Doa adalah senjata orang Islam dan orang-orang yang dizalimi. Mudah-mudahan dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, negara-negara Islam akan bersatu padu, seiring dan bersama-sama dalam kehidupan beragama," tegas Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Menurut Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama lagi, di Negara Brunei Darussalam, Alhamdulillah, sebagaimana yang telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah memperkenankan supaya Doa Hajat ditambah khusus ke arah itu.
“Ini menunjukkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah seorang raja yang amat prihatin - bukan sahaja kepada rakyat dan negara baginda, tetapi juga kepada negara-negara Islam di luar sana," jelas Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama lagi.
Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama turut berharap agar doa itu dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
“Dan ini kalau kita lihat, 'kitani' merupakan negara yang terawal yang mendoakan negara-negara Islam yang ada," demikian ungkap Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Manakala, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai semasa ditemui turut menyembahkan setinggi-tinggi ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta kerabat diraja.
Menurut Yang Berhormat Ahli MMN, titah baginda semalam amat berpatutan di mana Kebawah DYMM mengingatkan kita untuk melihat dengan mata dan jiwa simpati bagi saudara kita yang pada masa kini dilanda musibah.
Tambah Yang Berhormat, walaupun kita bergembira di Hari Raya ini, kita hendaklah sentiasa mengingat akan musibah yang menimpa orang-orang Islam yang kurang bernasib baik, apa tah lagi saudara sesama muslim kita di luar sana yang pada masa kini dilanda peperangan.
Sementara itu, berikutan dengan Titah Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 1447H Kebawah DYMM, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim pula menyatakan apa yang beliau dapat ambil dari titah berkenaan ialah ingatan tentang syukur, perpaduan dan menjaga adab sesama 'kitani'.
"Saya rasa titah berkenaan adalah dekat dengan kehidupan 'kitani', kerana ia bukan sahaja tentang meraikan kemenangan, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan menginsafi nikmat yang Allah berikan," ujarnya.