Pastikan kebajikan anak yatim terus diberi perhatian





Siaran Akhbar dan Foto: Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B'




BERAKAS, Rabu, 18 Mac. - Program Sentuhan Ihsan : Kasih Anak Yatim, telah diadakan di Masjid Kampung Sungai Hanching sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni kebajikan anak-anak yatim di bawah Mukim Berakas 'B'.


Seramai 40 anak yatim dari kalangan penduduk Mukim Berakas 'B' diraikan.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Berakas 'B', Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah, merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Mukim Berakas 'B'.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat sebagai pembuka majlis, diikuti dengan bacaan Tahlil Arwah yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Sungai Hanching, Awang Haji Noor Azalienita bin Haji Ratu.


Dalam ucapannya, tetamu kehormat menjelaskan bahawa Program Sentuhan Ihsan merupakan satu inisiatif kebajikan berteraskan nilai keprihatinan, kasih sayang dan kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim.


Beliau turut menekankan bahawa program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah sebagai usaha memperkukuhkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.


Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan penyumbang termasuk Balurih Travel Sdn. Bhd., Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak, Persatuan Jurulatih Bola Sepak Brunei Darussalam serta individu-individu dari Mukim Berakas 'B' yang telah sama-sama menjayakan program tersebut.


Program ini mencerminkan komitmen berterusan pihak penghulu, ketua-ketua kampung dan Pemangku-pemangku Ketua Kampung Mukim Berakas 'B' dalam memastikan kebajikan anak-anak yatim terus diberi perhatian melalui pendekatan komuniti yang bersepadu.


Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Sentuhan Ihsan, 'Keprihatinan Menghidupkan Harapan', yang menekankan bahawa setiap sumbangan mampu memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan.


Close