Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. - Pelaksanaan Skim Gaji Minimum yang berkuat kuasa sejak 1 April 2025 melibatkan tujuh industri utama menunjukkan impak yang minimal kepada syarikat-syarikat terbabit, dengan hanya 41 orang pekerja tempatan yang dikenal pasti memerlukan penyesuaian gaji.
Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, ketika menjawab soalan dari Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, yang berlangsung pagi tadi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) telah menjalankan kajian melibatkan 94 syarikat yang memberi respons.
Dari jumlah tersebut, terang Yang Berhormat, hanya 14 syarikat yang memerlukan pelarasan gaji membabitkan 41 pekerja tempatan dan 51 pekerja asing yang gaji mereka perlu diselaraskan kepada kadar minimum BND500.
"Sebenarnya sebelum 'kitani' melancarkan skim 'ani' bagi tujuh industri 'ani', beberapa konsultasi sudah telah dijalankan.
"Memang dikenal pasti, impak kepada syarikat-syarikat adalah minimal sebab 'inda' banyak pekerja yang gajinya jauh di bawah gaji minimum BND500," jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat menambah bahawa pihak industri juga menunjukkan sokongan padu terhadap inisiatif kerajaan ini.
"Jadi dikenal pasti tujuh industri 'ani' memang minimal lah, syarikat-syarikat dari tujuh industri ini pun mengongsikan dengan MPEC bahawa durang menyokong jua usaha-usaha kerajaan 'ani' untuk meningkatkan gaji minimum kepada pekerja-pekerja dalam industri-industri tersebut," tegas Yang Berhormat.