Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. - Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi terus komited dalam menangani isu pengangguran di negara ini dengan pendekatan yang lebih spesifik dan menyeluruh, sekali gus memastikan kadar pengangguran kekal stabil di bawah lima peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menyatakan perkara tersebut pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Kadar pengangguran di negara ini berada pada tahap stabil sekitar 4.95 peratus, ujar Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II lagi.
"'Ani' lah sebabnya pengangguran dari segi 'unemployment rate' kira macam stabil lebih kurang 4.95 peratus dan sebagainya," jelas Yang Berhormat semasa menjawab pertanyaan dari Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Menurut Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, kestabilan tersebut antara lainnya disebabkan oleh kemampuan pasaran kerja untuk menyerap hampir sama jumlah pencari kerja baharu setiap tahun, sama ada graduan mahupun mereka yang terkeluar dari persekolahan atau berhenti kerja, yang dianggarkan sekitar 11,000 hingga 12,000 orang setahun.
Dalam usaha lebih agresif menangani punca utama masalah, kerajaan tidak hanya mengambil pendekatan umum, Yang Berhormat memaklumkan bahawa JPM telah melantik Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS) untuk melaksanakan satu kajian komprehensif.
"Jadi inilah satu langkah untuk 'kitani' dapat mengatasi isu yang spesifik, bukan dari segi umur sahaja, dengan mengenal pasti punca utama pengangguran sama ada ketidaksepadanan kelayakan ('qualification mismatch') dan sebagainya ataupun isu-isu lain seperti isu pengangkutan dan sebagainya," tambah Yang Berhormat.
Di samping itu, usaha menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) terus diperhebat, terang Yang Berhormat.
Dengan 18 buah projek FDI yang kini dalam fasa pelaksanaan, Yang Berhormat optimis ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk anak-anak tempatan.
"Inilah yang usaha 'kitani' untuk mendapatkan lagi banyak pekerjaan bagi anak-anak tempatan," tegas Yang Berhormat.