BKISHHB berpotensi sebagai tarikan pelancongan, pusat pendidikan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. - Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan dan pusat pendidikan.


Sehubungan itu, usaha pembarigaan akan terus dipertingkat melalui pelbagai platform termasuk televisyen, radio, media sosial dan kerjasama bersama pihak berkepentingan termasuk 'influencers' bagi meluaskan pendedahan orang ramai.


Di samping itu, pihak BKISHHB juga merancang untuk meneruskan penyertaan dalam ekspo pelancongan yang bersesuaian bagi memperkenalkan BKISHHB ke peringkat antarabangsa serta mengadakan perbincangan bersama agensi pelancongan tempatan bagi melalui pakej-pakej meningkatkan keterlihatan Balai Khazanah pelancongan yang ditawarkan.


Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menjawab kepada saranan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof pada Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang memasuki hari ketujuh, berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Menurut Yang Berhormat Menteri, dari aspek pendidikan, pelbagai program 'outreach' seperti lawatan sekolah dan sesi pembarigaan telah dan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menggalakkan kunjungan dalam kalangan penuntut memandangkan BKISHHB mempunyai nilai pendidikan yang tinggi dari aspek sejarah dan perkembangan Islam di Negara Brunei Darussalam.


Berhubung dengan kemudahan akses pula ujar Yang Berhormat, pada masa ini belum terdapat laluan bas awam terus ke BKISHHB.


Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat lagi, pihak BKISHHB telah mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi berkaitan termasuk penyedia perkhidmatan seperti Dart bagi meneliti kaedah meningkatkan kemudahan pengangkutan kepada lokasi tersebut. Buat masa ini, pelawat menggunakan perkhidmatan seperti teksi, Dart ataupun pengangkutan yang disediakan oleh hotel.


“Sebagai inisiatif tambah, BKISHHB jua sedang meneroka perkhidmatan 'shuttle bus' seterusnya pada hari tertentu seperti Ahad, dan kerjasama pihak-pihak berkaitan dan beberapa perkara juga dirundingkan dengan pihak Pelancongan Brunei, yang mana kapal-kapal persiaran pun ada kalanya untuk memohon dan telah pun dipersetujui jua ada diperkenan bagi tempoh masa pembukaan Balai Khazanah dilonggarkan untuk membolehkan juga pelawat-pelawat atau pengunjung dari luar negeri dan kaola juga nyatakan bahawa dalam penerbangan RB sudah ada promosi-promosi mengenai Balai Khazanah ani diadakan juga.


“InsyaaAllah, sasaran untuk mendapatkan bilangan kunjungan pelawat sebanyak 20 ribu orang 'atu' mungkin dapat dicapai dalam masa terdekat atau sederhana nanti," ujar Yang Berhormat.


Close