Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. - Kerajaan terus memberi perhatian terhadap perkembangan pekerjaan gig dan kerja sambilan di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan sektor tersebut berkembang serta memberi perlindungan kepada para pekerja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah berkata, trend pekerjaan 'gig' ataupun 'gig economy' dan kerja sambilan semakin pesat berkembang di seluruh dunia dan tidak terkecuali di NBD.
"Seiring dengan perkembangan teknologi digital dan keperluan pendapatan tambahan, pekerjaan 'gig' dan kerja sambilan di negara ini tertumpu kepada perkhidmatan penghantaran ataupun 'runner', peniagaan kecil 'online' dan 'freelance digital' walaupun masih kecil berbanding negara besar.
"'Gig' ekonomi di negara ini semakin penting sebagai sumber pendapatan tambahan terutama bagi golongan belia, dan selaras dengan perkembangan ini, kerajaan prihatin dalam memastikan sektor ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan sambilan tetapi juga menyediakan perlindungan dan ekosistem yang kondusif kepada para pekerja," kata Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Yang Berhormat berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai pekerjaan 'gig' dan kerja sambilan, pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat menambah, usaha kerajaan dalam menggaris perdanakan pekerjaan 'gig' dan kerja sambilan melibatkan beberapa inisiatif dasar dengan pendekatan melalui tiga aspek utama termasuk dasar perlindungan sosial bagi memastikan kebajikan pekerja tidak terabai.
Kerajaan memperkenalkan Akta Perintah Pekerjaan Penggal 278 yang melindungi hak pekerja termasuk pekerja sambilan dengan menetapkan hak pekerja tanggungjawab majikan, syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja termasuk memastikan pekerja dilindungi daripada 'unduly low pay' melalui pelaksanaan perintah pekerjaan ataupun upah minimum.
"Di samping itu bagi memastikan kesejahteraan pekerja di hari persaraan, Skim Persaraan Kebangsaan ataupun SPK telah diperkenalkan dan diwajibkan bagi semua pekerja tempatan di sektor formal termasuk pekerja sambilan," ujar Yang Berhormat.
Bagi pekerja 'gig', kata Yang Berhormat, caruman kepada SPK adalah secara sukarela sepertimana yang dipraktikkan di negara-negara lain.
“Kedua, Penyediaan Platform Digital Kebangsaan. Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri menyediakan perkhidmatan pemadanan bagi pekerjaan sambilan melalui 'online portal'.
"Selain itu berbagai inisiatif juga diadakan oleh agensi-agensi lain seperti hub belia yang menyediakan platform bagi membarigakan peluang perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan oleh pekerja 'gig'," terang Yang Berhormat.
Pada masa yang sama pihak kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor swasta sebagai rakan strategik yang penting untuk menyediakan platform digital bagi pekerja 'gig'.
Beberapa platform telah diwujudkan di negara ini, jelas Yang Berhormat, melalui pendekatan komersial seperti platform Dart dan GoMamam.
"Dan ketiga, Ruang Kerja Mampu Milik. Pendekatan komersial juga telah diambil dalam penyediaan ruang kerja mampu milik termasuk ruang kerja bersama ataupun 'co-working spaces'.
"Selaras dengan hasrat untuk memperkukuh dan memperkasa pertumbuhan sektor swasta, pihak kerajaan menghargai syarikat-syarikat yang telah menerajui inisiatif penyediaan 'co-working spaces' dan akan terus menggalakkan serta mendukung usaha seumpamanya," kata Yang Berhormat.