‘Succession planning’ perlu diteliti, holistik





Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. - Isu jawatan-jawatan strategik yang dipangku secara berpanjangan serta pengambilan semula pesara secara berkontrak dibangkitkan dalam perbincangan pada hari keempat Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, keberkesanan rancangan penggantian atau 'succession planning' serta usaha pembangunan kapasiti sering dibincangkan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).


Adalah difahamkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya isu memangku berpanjangan bagi jawatan-jawatan dalam Bahagian I (satu) adalah pertama, syarat kelayakan untuk menjawat jawatan yang dipangku belum menepati iaitu termasuklah dari segi tempoh perkhidmatan, gred prestasi, akreditasi profesional dan kompentensi-kompentensi yang diperlukan adalah pertama, keterlibatan dalam isu atau tapisan audit yang belum selesai.


Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menjelaskan demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin.


Faktor-faktor lain, tambah Yang Berhormat, adalah senarai projek yang tidak strategik dan setaraf dengan jawatan yang akan dipegang, serta proses penstrukturan organisasi kementerian yang menjejaskan jawatan-jawatan yang sedia ada dan perancangan serta keperluan tenaga manusia di setiap tangga gaji.


Selain itu, tiada calon bersesuaian yang mengisikan jawatan tersebut termasuk melalui pengiklanan, justeru dalam menangani isu pengisian jawatan-jawatan dalam Bahagian I (satu), jelas Yang Berhormat, usaha-usaha telah diambil melalui pengemaskinian peraturan dan syarat yang berkaitan.


"Berikutan pengemaskinian ini ia telah menunjukkan kesan positif di mana sebanyak 82 jawatan telah diisikan sejak Oktober 2020 hingga Disember 2025," kata Yang Berhormat.


"Ketiga, iaitu bagi pegawai-pegawai yang memangku jawatan berkenaan dalam tempoh sekurang-kurangnya satu tahun.


"Manakala seramai 103 orang pegawai yang sebelum ini belum dapat disokong kerana belum memenuhi syarat lulus dua kertas kerja telah dapat dipertimbangkan untuk mengisikan jawatan-jawatan yang berkenaan," ujar Yang Berhormat.


Sebagai usaha tambahan, jelas Yang Berhormat lagi, JPA dan SPA sering mengadakan perjumpaan secara bilateral dengan kementerian-kementerian berkenaan, termasuklah dari sudut keupayaan dalam penyediaan senarai projek yang strategik serta pensyaratan-pensyaratan teras lain.


Dalam perkara berkaitan, pengambilan semula pesara secara berkontrak jumlahnya tidak begitu banyak yang mana tertakluk kepada keperluan sebenar berdasarkan pengetahuan kompentensi dan pengalaman yang tertentu bagi memastikan kesinambungan tugasan yang diperlukan.


Jumlah pegawai berkontrak, tempatan dan asing, tidak termasuk daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 652 orang.


"Dari jumlah tersebut hanya 56 orang terdiri daripada bekas pesara tempatan yang mengisikan jawatan Bahagian Satu yang mana merangkumi tenaga pakar dan profesional seperti bidang kedoktoran dan pegawai-pegawai kanan seperti Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap dan ketua jabatan," terang Yang Berhormat.


Dalam hal ini, tambah Yang Berhormat, bagi memastikan proses pengisian jawatan dapat dilaksanakan secara terancang dan tempoh memangku bagi jawatan-jawatan berkenaan tidak berpanjangan, kementerian dan jabatan masing-masing hendaklah memainkan peranan penting dalam menghadapkan sokongan kenaikan pangkat yang lengkap, kukuh dan berasaskan merit bagi pegawai-pegawai kanan yang dianggap layak untuk mengisikan jawatan-jawatan kosong yang berkenaan.


Menurut Yang Berhormat, kementerian dan jabatan juga perlu meneliti rancangan penggantian 'succession planning' yang lebih holistik, sekurang-kurangnya lima tahun sebelum pegawai dalam jawatan-jawatan strategik tersebut bersara.


Close