Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. - Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara bagi Tahun 2025 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus tahun-ke-tahun.
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh peningkatan sektor minyak dan gas sebanyak 3.1 peratus, selaras dengan peningkatan pengeluaran minyak mentah dan Gas Cecair Asli (LNG).
Manakala sektor bukan minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 1.5 peratus, terutamanya disumbangkan oleh penurunan beberapa subsektor utama, termasuk Kewangan; Lain-lain Pembuatan dan Perkhidmatan Kesihatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara tersebut dalam pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2026 / 2027 pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Bagi sektor perdagangan borong dan runcit, seperti kebanyakan negara lain, cabaran pada tahun 2025 turut dialami, selaras dengan perubahan corak permintaan dan tabiat pengguna.
Perkembangan pesat perdagangan dalam talian telah mendorong peralihan kepada platform digital yang menawarkan kemudahan, pilihan lebih luas dan harga yang kompetitif.
Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat, beberapa subsektor turut mencatatkan pertumbuhan positif, khususnya Subsektor Perkhidmatan Pendidikan, Pengangkutan Udara dan Pengangkutan Air.
Perkembangan ini menunjukkan potensi besar untuk terus diperkukuh dan dimajukan, terutamanya melalui peningkatan kecekapan operasi, pemodenan perkhidmatan serta penggunaan teknologi yang lebih meluas bagi memenuhi permintaan masa hadapan.
Yang Berhormat menjelaskan, walaupun pertumbuhan pada tahun ini adalah sederhana, keadaan ini dipengaruhi oleh kesan asas yang tinggi pada tahun sebelumnya. Oleh itu, prestasi ekonomi perlu dinilai dalam konteks trend jangka panjang bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh.
Bagi tempoh di antara tahun 2015 hingga tahun 2025, ujar Yang Berhormat, KDNK mencatat pertumbuhan purata sebanyak 0.6 peratus setahun, dengan sektor bukan minyak dan gas mencatat peningkatan purata sebanyak 2.7 peratus setahun. Ini menunjukkan bahawa dalam jangka panjang, ekonomi negara, khususnya sektor bukan minyak dan gas, telah menunjukkan perubahan positif secara beransur-ansur.
“Bagi memastikan ekonomi kekal stabil dan berkembang, keutamaan strategik terus diberikan kepada pengukuhan dan kepelbagaian sektor bukan minyak dan gas melalui lima sektor keutamaan, iaitu hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan dan ICT.
“Usaha ini memerlukan kerjasama erat semua pihak bagi membangunkan ekosistem perniagaan yang kondusif, termasuk tenaga kerja berkemahiran, infrastruktur berkualiti dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap," tambah Yang Berhormat.
Dari segi nilai eksport, sektor bukan minyak dan gas tambah Yang Berhormat, terus menjadi penyumbang utama sejak tahun 2021 dan pada tahun 2025, menyumbang sebanyak 61 peratus daripada jumlah eksport negara.
Sektor bukan minyak dan gas juga terus menyumbang lebih besar kepada KDNK berbanding sektor minyak dan gas, iaitu sebanyak 54 peratus pada tahun 2025, didorong oleh sektor-sektor keutamaan (priority sectors) sebanyak 43 peratus daripada keseluruhan KDNK sektor bukan minyak dan gas.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, negara terus mencatat lebihan Perdagangan (trade surplus) sebanyak BND5.1 bilion pada tahun 2025, walaupun menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya akibat ketidaktentuan global yang menjejaskan harga komoditi eksport utama, khususnya minyak dan gas serta produk hiliran berkaitan.
Tambah Yang Berhormat lagi, kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada tahun 2025, dengan penurunan sebanyak 0.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh subsidi Kerajaan, kawalan harga barangan keperluan serta pemantauan harga berterusan. Walaupun harga makanan masih lebih tinggi berbanding sebelum pandemik akibat faktor global dan kebergantungan kepada import, tekanan inflasi domestik keseluruhannya kekal terkawal.
Mengenai pasaran tenaga kerja, laporan Kajian Tenaga Kerja 2025 sedang dilaksanakan. Dapatan awal menunjukkan kadar pengangguran penduduk berumur 18 tahun ke atas adalah dijangka pada tahap 5.0 peratus.
Sebagai langkah ke hadapan ujar Yang Berhormat, usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara akan terus menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta penerapan teknologi dan inovasi merentasi semua sektor. Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, daya saing bergantung kepada produktiviti, kecekapan dan keupayaan menyesuaikan diri.
Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama awam-swasta, mempererat hubungan ekonomi serantau serta menyokong Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk meningkatkan keupayaan dan mempelbagaikan pasaran bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka panjang.