Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. - Sejumlah BND6.3 bilion diusulkan bagi Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2026 / 2027 semasa pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2026 / 2027 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2026 / 2027 ini, menurut Yang Berhormat dirangka dalam konteks untuk meneruskan usaha kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, iaitu membentuk sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan dan berkemahiran tinggi, menikmati kualiti kehidupan yang baik, serta disokong oleh ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berdaya saing.
Yang Berhormat mengongsikan, BND6.3 bilion Belanjawan Negara yang dicadangkan tersebut adalah untuk membiayai perbelanjaan negara menurut kategori-kategori iaitu BND2.31 bilion (36.7 peratus) untuk membiayai 'Emolumen' termasuk pembayaran gaji, faedah perkhidmatan, kemudahan-kemudahan lain dan caruman majikan.
Seterusnya, BND2.45 bilion (38.8 peratus) untuk membiayai Perbelanjaan Berulang-ulang Kementerian dan Jabatan Kerajaan manakala BND480 juta untuk membiayai projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 12, dengan Harga Rancangan sejumlah BND4 bilion dan selebihnya untuk membiayai perbelanjaan di bawah tajuk Perbelanjaan Yang Di-Akui.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II turut menjelaskan bahawa negara juga berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencabar.
“Ketidaktentuan ekonomi dunia yang dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik terkini termasuk di Timur Tengah, perubahan struktur perdagangan global, dan prospek pertumbuhan global yang sederhana serta cabaran perubahan iklim memerlukan kerajaan untuk bertindak secara berwaspada dan strategik. Oleh itu, keupayaan negara untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kedayatahanan fiskal adalah amat penting," ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, tambah Yang Berhormat, Rang Anggaran Belanjawan ini memberikan penekanan khusus kepada agenda fiskal mampan, dengan memastikan perbelanjaan awam diurus secara lebih cekap, berimpak tinggi dan berorientasikan hasil.
Dalam masa yang sama, kerajaan akan meneruskan Program Fiscal Consolidation termasuk penambahbaikan tadbir urus kewangan awam, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta pengukuhan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
“Pendekatan ini adalah penting bagi memastikan daya tahan fiskal negara dalam jangka sederhana dan panjang, serta bagi mewujudkan ruang fiskal yang mencukupi untuk menyokong keperluan pembangunan dan generasi masa hadapan.
“Kebergantungan berlebihan kepada sumber minyak dan gas sahaja bukanlah pendekatan yang mampan dalam jangka panjang. Oleh itu, kerajaan akan terus berusaha ke arah kepelbagaian ekonomi dan pengukuhan sektor bukan minyak dan gas," tegas Yang Berhormat.