DANA terima sumbangan derma





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





KATIMAHAR, Khamis, 12 Mac. - Sempena bulan suci Ramadan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad, Darussalam Holdings Sendirian Berhad dan TAIB Filling Station Sendirian Berhad petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyerahan Sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) yang berlangsung di Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Kampung Katimahar.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.


Turut hadir adalah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya; serta ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad.


Juga hadir sama para tetamu jemputan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, Ketua Kampung Putat; Penghulu Mukim Pekan Sengkurong; Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar; pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, di samping penduduk kampung di kawasan sekitarnya.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, Awang Mohamad Kamal bin Mohaimin, diikuti dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang dipimpin oleh Bilal Masjid berkenaan, Awang Azizan bin Haji Asmat.


Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Imam Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien.


Atur cara seterusnya menyaksikan penyampaian sumbangan kepada lima orang anak yatim dalam kalangan keluarga warga kerja Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, serta 34 orang anak yatim dari kawasan Kampung Lugu dan Kampung Katimahar.


Sumbangan tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.


Majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada DANA.


Perbadanan TAIB telah menyumbangkan sebanyak BND150,000, manakala Insurans Islam General Takaful Sendirian Berhad, Insurans Islam Family Takaful Sendirian Berhad dan Darussalam Holdings Sendirian Berhad masing-masing menyumbangkan sebanyak BND10,000.


Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB, dan diterima oleh Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Mejar (B) Sopian bin Haji Mohammad Yassin.


Bagi memohon keberkatan majlis, acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh imam masjid berkenaan.


Majlis ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang diadakan oleh Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya bagi menyemarakkan bulan suci Ramadan di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, serta dengan penduduk kampung sekitarnya.


Close