Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit; Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi; Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid; Muhammad Asri Haji Awang Abas; Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 Mac. - Hari ini menandakan bermulanya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang akan membincangkan pelbagai isu demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN, pagi tadi.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis dijunjung oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat masuk ke Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis dengan diiringi perarakan masuk Cokmar MMN.
Pada istiadat tersebut, baginda berkenan menyempurnakan istiadat dengan mengurniakan titah sebagai tanda bermulanya Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN.
Bagi memberkati istiadat berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Sebelum berangkat meninggalkan Bangunan Dewan Majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja berkenan berangkat bagi sesi bergambar ramai.
Persidangan MMN Kali Ke-22 antara lain akan membincangkan perkara berkaitan hala tuju pembangunan negara dengan tumpuan kepada Rang Undang-Undang Perbekalan 2026/2027 serta usul Kumpulanwang Kemajuan.
Sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi berlangsung, Persidangan MMN Ke-22 telah bersidang untuk meneliti dan mengesahkan Jurnal (Minit Mesyuarat) Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang telah bersidang selama 19 hari pada tahun lalu.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN.
Persidangan MMN akan disambung esok, 13 Mac pada pukul 9.30 pagi dengan Usul Menjunjung Kasih.











