Kongsi rezeki, kebahagiaan bersama anak yatim




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





TANJONG BUNUT, Ahad, 8 Mac. - Dalam sama-sama berkongsi rezeki dan berbagi kebahagiaan di bulan suci Ramadan ini, seramai 217 orang anak-anak yatim dari 10 buah kampung dalam Mukim Sengkurong menerima sumbangan derma dalam satu Majlis Penyampaian Derma yang diadakan di Restoran Tiong Jaya, Kampung Tanjong Bunut, Mukim Kilanas, di sini.


Anak-anak yatim yang menerima sumbangan tersebut adalah dari Kampung Sengkurong 'A', Kampung Sengkurong 'B', Kampung Jerudong 'A', Kampung Jerudong 'B', Kampung Selayun / Tagap, Kampung Mulaut, Kampung Tanjong Nangka, Kampung Katimahar, Kampung Lugu dan Kampung Kulapis.


Sumbangan derma bagi anak-anak yatim berkenaan disumbangkan oleh Pengarah Syarikat Arzwanina Sendirian Berhad, Awang Haji Jabar Sadiq, yang mana beliau sebelum ini turut menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim di Mukim Sengkurong dari tahun 2020 hingga 2025 dalam bentuk wang tunai dan hamper atas nama syarikatnya.


Sempena bulan Ramadan serta memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, beliau sekali lagi berbesar hati menghulurkan bantuan kepada golongan anak yatim di mukim tersebut.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, Ketua Kampung Putat. Juga hadir selaku tetamu khas ialah Pengarah Urusan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, Awang Shamir bin Salahudin.


Acara kemuncak majlis ialah penyerahan derma kepada anak-anak yatim Mukim Sengkurong yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Awang Zainol dan Awang Haji Jabar Sadiq.


Acara juga diselajurkan dengan membaca Tahlil dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Awang Haji Manan bin Haji Osman. Majlis diakhiri dengan berbuka puasa dengan jamuan disediakan oleh dermawan berkenaan.


Majlis berkenaan dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong 'B' yang dipimpin oleh Pemangku Ketua Kampung Sengkurong 'B', Awang Abdul Razak bin Haji Ismail, dengan kerjasama Ahli-ahli MPK kampung tersebut.


Penganjuran majlis tersebut bertujuan untuk berkongsi kegembiraan Ramadan dengan memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.


Close