Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
KAMPUNG PELAMBAYAN, Ahad, 8 Mac. - Pihak Masjid Kampung Pelambayan sangat terharu atas penyertaan peserta Tadarus Al-Quran bagi Ramadan sesi 1447 Hijrah bagi masjid tersebut telah menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan seramai 150 peserta pada tahun ini.
Justeru, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid menzahirkan penghargaan kepada para peserta terutama sekali majoritinya golongan belia yang tidak serik hadir bertadarus setiap malam sejak dari malam pertama Ramadan lagi bagi mengimarahkan lagi masjid dengan bacaan ayat suci Al-Quran.
Ketua Imam Masjid, Awang Haji Muhammad Aminuddin bin Haji Puteh berkata bahawa dengan adanya intensif yang dikurniakan ini, sedikit sebanyak dapat membangkit semangat para peserta untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran dan galakan bagi mereka untuk terus berdamping dengan kitab suci Allah itu.
Apa yang utama, katanya, nawaitu (niat) hendaklah betul demi mengharapkan ganjaran pahala terutama sekali di bulan suci Ramadan ini lebih-lebih lagi amalan pembacaan Al-Quran diperbanyakkan terutama pada 10 malam terakhir Ramadan ini.
Beliau seterusnya berharap agar jumlah penyertaan ini akan meningkat pada masa akan datang dalam melahirkan para belia cintakan Al-Quran sekali gus memperkukuh negara kita yang berlandaskan Al-Quran bagi menjalani hidupan seharian.
Majlis Khatam Al-Quran meraikan peserta bagi masjid itu terdiri daripada 75 lelaki dan 75 perempuan dikurniakan sagu hati dan disampaikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok, yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Setelah itu, para peserta meneruskan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran bermula dari Surah Ad-Dhuha dan diikuti dengan bacaan Takhtim diketuai oleh Awang Md. Hafizul Ridhwan Sofian bin Abdullah yang kemudiannya memimpin Doa Selamat.
Manakala, Doa Khatam pula dibacakan oleh Awang Md. Saleh bin Haji Abd. Rahman yang juga memimpin bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis juga disemarakkan dengan Dikir Marhaban dan kemudiannya menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan selanjutnya acara bersungkai bersama-sama.