Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 8 Mac. - Kementerian Kesihatan mengadakan lawatan ke rumah-rumah pesakit yang kurang berkemampuan bagi menyampaikan sumbangan derma, barang-barang keperluan asasi dan peralatan perubatan kepada pesakit serta keluarga yang telah dikenal pasti dan berdaftar di Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (Medical Social Worker Services-MSWS) di keempat-empat daerah.
Pada tahun ini, seramai 17 pesakit dan keluarga yang berdaftar di bawah MSWS telah dikenal pasti bagi tujuan lawatan berkenaan.
Rombongan lawatan berkenaan dibahagikan kepada empat kumpulan, iaitu satu kumpulan rombongan di Daerah Brunei dan Muara (DBM), satu kumpulan rombongan di Daerah Belait, satu kumpulan rombongan di Daerah Tutong dan satu kumpulan rombongan di Daerah Temburong.
Rombongan lawatan bagi DBM diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang melawat seramai empat pesakit.
Di Daerah Belait, rombongan lawatan diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif, yang melawat seramai empat pesakit; manakala rombongan lawatan di Daerah Tutong pula diketuai oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, yang melawat seramai tujuh pesakit.
Sementara rombongan di Daerah Temburong pula diketuai oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, yang melawat seramai dua pesakit.
Aktiviti lawatan berkenaan yang dikenali sebagai MoH Prihatin merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan melalui MSWS bagi menyerahkan sumbangan yang terkumpul daripada Tabung Amal Bantuan Pesakit, Kementerian Kesihatan yang diperoleh daripada sumbangan ikhlas warga Kementerian Kesihatan, persatuan - persatuan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang-orang persendirian.
Projek MoH Prihatin berkenaan turut disokong oleh ketua-ketua jabatan di Kementerian Kesihatan, pegawai - pegawai kanan, pegawai-pegawai perubatan, jururawat-jururawat, kakitangan hospital, wakil-wakil daripada Persatuan Kesihatan Bersekutu (Allied Health Association), Cardiac Society Brunei Darussalam, Brunei Society of Anaesthesiologists (BSA), Brunei Medical Association (BMA), Brunei Paediatric Society (BPS), Brunei Darussalam Association of Medical Laboratory Scientists (BAMLS), Brunei Emergency Care Society (BECS), Kumpulan Meraih Berkah, RIPASH Doctors' Mess dan Kejia Association serta sumbangan daripada pihak swasta, iaitu Medetech Sdn. Bhd., Syarikat Wira Juta Sdn. Bhd., Syarikat Misti Jaya Sdn. Bhd., Sweat BN, Dynamik Technologies, Evyd Sdn. Bhd., Jac Marketing & Services, Bit Bot Technologies, United Pharma, Bio Ventures Company, Medicorp Sdn. Bhd. dan juga sumbangan persendirian daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.