Bantu ringankan beban golongan memerlukan





Oleh : Aimi Sani / Foto : Haji Ariffin Haji Mohd. Noor / Morshidi





SERDANG, Sabtu, 7 Mac. - Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, yang di dalamnya turun Al-Quran. Bulan di mana Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan rahmat, memberikan keampunan dan menjanjikan jaminan pembebasan daripada api neraka.


Pada bulan ini juga, Allah Subhanahu Wata'ala membelenggu pergerakan syaitan, menutup pintu neraka, membuka seluas-luas pintu syurga. Di samping itu, dilipatgandakan balasan pahala ke atas segala amal ibadah yang dikerjakan sehingga ribuan kali ganda.


Bagi meraih keberkatan dan sama-sama menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan yang mulia, Jawatankuasa Takmir Masjid Serdang hari ini menganjurkan Majlis Membaca Doa Arwah dan Khatam Al-Quran serta Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim dan Golongan Asnaf Fakir Miskin bersempena dengan Bulan Ramadan bagi tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.


Turut hadir, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pegawai Pemantau Zon 4 Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Haji Md. Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar; dan Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram, selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid.


Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan Takhtim Al-Quran beramai-ramai oleh para peserta khatam.


Manakala, bacaan Doa Khatam dan Doa Arwah dipimpin oleh Awang Haji Muhd. Syariff Waliyudin bin Jemain. Sementara bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darusalam dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohd. Khairul Azmy bin Haji Bakar.


Tetamu kehormat majlis seterusnya menyampaikan sumbangan derma kepada seramai 13 anak yatim dan 21 orang golongan asnaf yang terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukut, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Matan.


Majlis Membaca Doa Arwah dan Khatam Al-Quran serta Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim dan Golongan Asnaf Fakir Miskin berkenaan adalah aktiviti takmir tahunan Masjid Serdang sempena bulan Ramadan bagi menghidupkan dan menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia ini, di samping membantu meringankan beban golongan yang memerlukan khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.


Close