Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Sabtu, 7 Mac. – Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada penduduk kampung yang terjejas, di samping mengeratkan lagi silaturahim serta semangat kerjasama antara pemimpin masyarakat dan penduduk kampung dalam menghadapi sebarang cabaran atau musibah yang berlaku di kawasan mereka, Majlis Penyerahan Derma bagi bantuan mangsa tanah susur di Kampung Ukong dan Kampung Bukit Udal telah diadakan di Dewan Serbaguna Pakatan Sang Jati Dusun (PSJD), Kampung Bukit Udal, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, juga selaku Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada para penerima yang terjejas akibat kejadian tanah susur.
Seramai 10 penerima telah menerima sumbangan berkenaan, yang terdiri daripada tujuh orang penduduk Kampung Ukong, manakala tiga orang penduduk dari Kampung Bukit Udal.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban para penerima dalam menghadapi kesan kejadian tanah susur yang menjejaskan kediaman serta kehidupan harian mereka.
Yang Dipertua PSJD, Awang Johan bin Benson dalam ucapannya antaranya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan usaha murni berkenaan.
Jelasnya, sesungguhnya sumbangan yang dihulurkan pada hari ini bukan sahaja memberi bantuan dari segi kebajikan, malah mencerminkan semangat keprihatinan, kemasyarakatan dan nilai gotong-royong yang masih kukuh dalam kalangan masyarakat kita.
“Majlis pada hari ini amat bermakna kerana ia memperlihatkan kesungguhan kita untuk membantu dan meringankan beban masyarakat, khususnya kepada mereka yang memerlukan. Bantuan dan derma tanah susur yang disampaikan ini diharapkan dapat memberi manfaat serta sedikit kelegaan kepada para penerima.
“Sebagai sebuah organisasi masyarakat yang mewakili komuniti Dusun, PSJD sentiasa berusaha untuk memupuk semangat bermasyarakat dan saling membantu antara satu sama lain. Nilai tolong-menolong ini adalah warisan budaya yang sangat berharga dalam masyarakat kita.
“Oleh itu, usaha seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh lagi semangat berjiran dalam kalangan masyarakat di kedua-dua kampung ini," ujarnya lagi.
Turut menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar, Awang Haji Masri bin Haji Abdullah; dan Ketua Kampung Ukong, Awang Muhammad Hakimi bin Abdullah Gampar.
Antara yang turut hadir, Penghulu Mukim Tanjong Maya, Awang Mohd. Azaman Shah bin Haji Sahari; ahli-ahli jawatankuasa tertinggi PSJD, ahli-ahli PSJD, ahli jawatankuasa kerja bantuan mangsa tanah susur, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar, MPK Ukong dan para penyumbang serta para penduduk kampung di kawasan sekitarnya yang sama-sama memberikan sokongan dan semangat kepada keluarga-keluarga yang terjejas.