Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
MADANG, Sabtu, 7 Mac. – Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD) Kampung Manggis/Madang mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim serta Majlis Doa Kesyukuran sempena siapnya pintu utama serta pintu-pintu tepi masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin, penasihat-penasihat, ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah-jemaah masjid serta anak-anak yatim dari Kampung Manggis dan Kampung Madang.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, dan diteruskan dengan Ceramah Khas sempena Sambutan Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Harapandi Dahri.
Ceramah berkenaan antara lain menyentuh mengenai kepentingan menghayati peristiwa Nuzul Al-Quran sebagai titik permulaan penurunan wahyu kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta peranan umat Islam dalam menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang didahului oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai oleh para peserta khatam serta bacaan takhtim dan tahlil.
Bacaan tahlil pada majlis berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Bacaan Doa Khatam pula dipimpin oleh Pegawai Masjid, Awang Razman bin Haji Ramlee, diikuti dengan Dikir Marhaban.
Majlis kemudian disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Imam Masjid SSBRPAD, Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani.
Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis turut menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kepada seramai 18 anak yatim yang terdiri daripada penduduk Kampung Manggis dan Kampung Madang.
Majlis diakhiri dengan berbuka puasa serta Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Penganjuran majlis berkenaan diharap dapat memperkukuh lagi penghayatan terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat di samping menyemarakkan aktiviti keagamaan di masjid serta memupuk semangat kebersamaan dan kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.