Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Khamis, 5 Mac. - Kementerian Kesihatan mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran dan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sempena bulan Ramadan pada tahun ini berlangsung di Surau Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan Majlis Bertadarus dan diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan juga bagi pegawai dan kakitangan hospital yang sudah kembali ke rahmatullah.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menyampaikan sumbangan derma kepada 17 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga kakitangan hospital.
Majlis Bertadarus Al-Quran ini merupakan wadah pengisian rohani yang diadakan bagi memperkukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Melalui pembacaan dan 'tadabbur' ayat-ayat suci Al-Quran, majlis ini bukan sahaja menjadi platform mempertingkatkan amalan ibadah, malah menyemai budaya kerja yang berintegriti, berempati dan berteraskan nilai-nilai murni selaras dengan tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.