Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Mac. - Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad dan Darussalam Holdings Sendirian Berhad, telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis keagamaan tersebut diadakan khusus bagi paduka ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Bengkurong, Awang Mohammad Zahid Zakwan@Mohammad Thaib Hasbullah bin Mohd. Said.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Syariah serta pegawai dan kakitangan lelaki Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.
Lebih 200 warga Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya hadir mengimarahkan majlis tersebut dalam sama-sama menyemarakkan lagi bulan Ramadan Al-Mubarak ini.
Majlis seumpama ini merupakan antara kegiatan keagamaan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya sepanjang bulan Ramadan, sejajar dengan usaha memperkukuh nilai-nilai kerohanian dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga institusi.