Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Mac. - Al-Quran merupakan wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala yang tidak mengandungi sebarang keraguan dan diturunkan sebagai peringatan serta petunjuk kepada manusia agar mereka kembali kepada jalan yang benar.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah Negara Zikir, Al-Quran diibaratkan sebagai 'nadi' yang menghidupkan kehidupan individu, masyarakat dan negara.
Apabila Al-Quran dijadikan panduan hidup, ia mampu melahirkan masyarakat yang beriman, berakhlak mulia, berintegriti serta mempunyai kesedaran untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi larangan-Nya.
Demikianlah antara huraian inti sari dan pengajaran ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah As-Sajdah, ayat 2 dan 3, yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da' wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian dari Surau Musholla Al-Ameen, PDI bagi menyerikan Munajat Ramadan anjuran KHEU Kali Ke-221.
Turut serta Munajat Ramadan petang tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta para pegawai kanan dan kakitangan di bawah KHEU.
Juga menyertai secara maya ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, Belia dan Jemaah dari Masjid Kampung Belimbing Subok dan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Munajat Ramadan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Yusli bin Haji Ashli dari Masjid Kampung Belimbing Subok.
Diteruskan dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara, Awang Mohammad Farhan@Mohammad Ali bin Alim dari Masjid Kampung Belimbing Subok.
Manakala, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 1, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Saufi bin Haji Suhaini dari Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Sejurus selesai Tadabbur Al-Quran, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Kumpulan Belia Syababul Irsyad dari Masjid Kampung Belimbing Subok.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan NBD dibacakan oleh Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Belimbing Subok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Jamalulhair bin Muhin.
Munajat Ramadan anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah pada bulan Ramadan ini dan meminta keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya.
Seterusnya, merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar NBD dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala musibah dan penyakit merbahaya. Semoga dengan amalan ibadah yang dikerjakan pada bulan Ramadan ini, kehidupan kita semua dan NBD diberkati.