Majlis Resepsi Iftar anjuran Suruhanjaya Tinggi Kanada





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Mac. - Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menganjurkan Majlis Resepsi Iftar yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kehadiran lebih 180 jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, para diplomatik, pemimpin perniagaan, ahli akademik, wakil media serta para jemputan.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Dalam ucapan alu-aluannya, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy menekankan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara serta menyorot peranan penting NBD sebagai anggota pengasas Association of Southeast Asian Nations (ASEAN).


Beliau turut menyatakan komitmen berterusan Kanada dalam memperkukuh kerjasama bersama ASEAN, khususnya dalam bidang perdagangan, hubungan antara rakyat serta kestabilan serantau.


Beliau berkata, “Daripada dialog ASEAN hingga ke forum pelbagai hala, kita terus bekerjasama secara konstruktif ke arah masa depan yang lebih selamat, mampan dan makmur untuk rakyat serta dunia".


Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy juga merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia buah kurma serta berkongsi pengalaman pertama beliau menyambut Ramadan di negara ini, yang disifatkannya sebagai bulan penuh refleksi, kemurahan hati dan kebersamaan sejagat.


Menyentuh perkembangan kerjasama ekonomi, beliau merujuk kepada penubuhan Dewan Perniagaan Kanada-Brunei pada tahun lalu sebagai petanda jelas peningkatan minat dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.


Mengulas mengenai tahun 2026, beliau menyatakan ia bakal menjadi tahun signifikan bagi kedua-dua negara. Ketika Negara Brunei Darussalam meraikan detik-detik penting termasuk Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-42 dan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Kanada pula akan menjadi tuan rumah bersama kejohanan FIFA World Cup 2026 yang akan berlangsung di bandar Toronto dan Vancouver.


Kejohanan tersebut dijangka menjadi yang terbesar dalam sejarah FIFA, yang pertama menampilkan kerangka hak asasi manusia serta pertama dianjurkan secara bersama oleh tiga buah negara.


Tuan Yang Terutama turut menegaskan komitmen Suruhanjaya Tinggi Kanada untuk terus memperkukuh kerjasama, dialog dan hubungan persahabatan yang sedia terjalin antara Kanada dan Negara Brunei Darussalam.


Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Reza Ramadhani bin Ismaya, bekas pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, serta persembahan tausyeh oleh kumpulan Firqah Al Husni yang menambah pengisian rohani dan kebudayaan pada majlis berkenaan.


Close