KKBS semarakkan Ramadan dengan Tadarus Al-Quran





Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Siti Rokiah Abdullah





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 Mac. - Seramai 700 warga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengimarahkan Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang telah diadakan malam tadi bertempat di Surau Istana Nurul Iman.


Majlis tersebut dihadiri oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, bersama rombongan di ruangan jemaah lelaki.


Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.


Manakala di ruangan jemaah perempuan, hadir sama ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.


Di Surau Istana Nurul Iman seramai 490 warga kementerian dan jabatan di bawahnya telah memenuhi ruangan lelaki, manakala 210 pegawai dan kakitangan wanita menghadiri majlis di ruangan jemaah perempuan.


Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti Sembahyang Sunat Gerhana dan seterusnya Khutbah Gerhana yang disampaikan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang dan diteruskan lagi dengan Sembahyang Sunat Tarawih dan Sembahyang Sunat Witir. 


Acara kemudian diteruskan dengan sesi tazkirah serta bacaan Tadarus Al-Quran sebelum ditutup dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Manakala di ruangan wanita, tazkirah telah disampaikan oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Dayang Hajah 'Aqilah Mukarramah binti Haji Salleh.


Dalam tazkirahnya, beliau menekankan bahawa berdoa dengan menyebut Asmaul Husna merupakan antara cara terbaik bagi seorang Muslim dalam memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.


Menurut beliau, sama ada ketika mengharapkan keampunan, memohon perlindungan daripada bala mahupun menzahirkan rasa takut dan pengharapan kepada-Nya, bertawasul dengan nama-nama Allah adalah amalan yang dibenarkan serta sangat digalakkan dalam Islam.


Beliau turut menghuraikan salah satu Asmaul Husna, iaitu At-Tawwab yang bermaksud Allah Yang Maha Menerima Taubat, mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya, memberi taufik untuk bertaubat serta memudahkan hamba-Nya kembali kepada-Nya.


Tambahnya, memahami dan menghayati nama-nama Allah mampu meningkatkan kualiti diri seorang mukmin sekurang-kurangnya daripada tiga aspek penting iaitu akidah, ibadah dan tasawuf (penyucian jiwa serta akhlak).


Dari sudut akidah, jelasnya, mengenali sifat-sifat Allah akan mengukuhkan keyakinan terhadap kebesaran dan kekuasaan-Nya, manakala dari sudut ibadah, ia meningkatkan kualiti pengabdian kerana setiap amalan dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat.


Beliau menambah, apabila seseorang benar-benar meyakini bahawa Allah sentiasa memerhati setiap perbuatan dan lintasan hati, maka dia akan lebih berhati-hati dalam menjaga lidah, anggota dan tingkah laku daripada perkara yang tidak diredai Allah.


Selain itu, penghayatan terhadap Asmaul Husna juga membentuk jiwa yang lebih bersih serta berakhlak mulia. Seorang mukmin akan berasa malu melakukan dosa dan terdorong menggunakan setiap nikmat yang dikurniakan Allah ke arah perkara yang diredai-Nya.


Tazkirah tersebut turut menekankan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, bahkan merupakan bulan untuk kembali kepada Allah.


Antara nama Allah yang sangat berkait rapat dengan bulan yang mulia ini ialah At-Tawwab, yang menggambarkan luasnya kasih sayang Allah kerana Dia sentiasa membuka pintu taubat siang dan malam selagi nyawa belum sampai ke halkum.


Allah menerima taubat walaupun dosa yang dilakukan besar, selagi mana disertai keikhlasan, penyesalan serta tekad untuk tidak mengulanginya.


Bahkan, Allah sendiri memberi ilham kepada hamba-Nya untuk bertaubat, dan itu merupakan sebahagian daripada rahmat-Nya.

 

Dijelaskan juga bahawa Allah memberi peluang berkali-kali kepada hamba-Nya untuk kembali walaupun hamba tersebut berulang kali melakukan kesalahan.


Majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan warga KKBS dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian rohani serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian.

 

Close