Bantu ceriakan anak yatim menjelang Hari Raya




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad





BELAIT, Isnin, 2 Mac. - Dalam sama memelihara kebajikan anak-anak yatim di Daerah Belait, Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait mengadakan Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim Daerah Belait Tahun 1447 Hijrah /2026 Masihi berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Insani, Seria, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Tahlil yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga Selatan Seria, Awang Muhammad Hilman bin Haji Hasnullah.


Seramai 446 anak yatim berdaftar di Daerah Belait menerima derma yang disampaikan oleh tetamu kehormat. Derma-derma tersebut adalah sumbangan daripada Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan, Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait dan juga dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).


Sementara itu, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn. Bhd. (BSP) juga turut menyerahkan derma kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Syarikat, Awang Haji Mohammad Zulazrin bin Haji Mohidin dan Pengarah Sumber Manusia, Dayang Erwienna binti Abu Bakar.


Manakala Syarikat Suasana Menteri Engineering Services ikut sama menyerahkan derma dari syarikat berkenaan kepada anak-anak yatim. Derma-derma diserahkan oleh Pengarah Urusan, Awang Yusof bin Haji Othman dan Pengurus Pemasaran syarikat berkenaan, Clement Oh Yeong Heng.


Pada majlis tersebut Pemangku Pegawai Daerah Belait juga menerima sumbangan sebanyak BND9,436 daripada syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan terdiri dari Dewan Perniagaan Tiong Hua Daerah Belait, Asia Enterprise, Sullivans (B) Sdn. Bhd., KK Chan Enterprise, Pustaka Remaja Sendirian Berhad, Syarikat Teras Maju Bookstore Sendirian Berhad, Chiam Engineering Construction, Hainan Association, Persatuan Kejuruteraan Tiong Hua Daerah Belait, New Villeage Mutual and Association, Tai Poo Community Association Brunei, Persatuan Usia Panjang Kekal, Chai Youk Fatt.


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua jabatan dan cawangan di Daerah Belait, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait serta pegawai-pegawai Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sendirian Berhad dan Syarikat Suasana Mentari Engineering Services.


Dengan adanya majlis ini maka dapatlah sedikit sebanyak membantu menceriakan anak-anak yatim dalam membuat persediaan menjelangnya sahaja Hari Raya Aidilfitri.


Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan derma ke Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait adalah dialu-alukan dengan berhubung terus ke Urus Setia Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait, Bahagian Perhubungan Awam, Penyelidikan dan Teknologi Maklumat, Tingkat II, Jabatan Daerah Belait atau telefon terus ke nombor +673 3334335 sambungan 1117 / 1113 / 1118. 


Close