138 anak yatim Daerah Temburong terima sumbangan



​​Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hasif Matzin





TEMBURONG, Isnin, 2 Mac. - Kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim di negara ini terus mendapat perhatian terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan pelbagai pihak dan dermawan menghulurkan sumbangan bagi meraih keberkatan.


Sehubungan itu, dalam meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim semasa menyambut bulan Syawal nanti, Majlis Penyampaian Derma Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong diadakan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.


Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; penghulu mukim-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung, ketua-ketua cawangan Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Temburong dan para dermawan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Pengiran Haji Abu Bakar Kampung Bokok, Mukim Bokok, Awang Sokhrati@Hanafi bin Haji Bahrun.


Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim Daerah Temburong kepada seramai 138 penerima yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan penyampaian derma kepada Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong daripada para penderma.


Sumbangan hari ini adalah sumbangan derma daripada Tabung Anak-anak Yatim Daerah Temburong, Tabung Kebangsaan, Bank Islam Brunei Darussalam, orang persendirian dan syarikat-syarikat swasta.


Dengan adanya sumbangan derma ini nanti, diharapkan akan dapat meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim semasa menyambut bulan Syawal nanti dan dihasrat kepada anak-anak yatim akan dapat membelanjakan sumbangan berkenan.


Close