MTIC bertahlil di Kubah Makam Diraja




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Mac. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan-jabatan serta Agensi-agensi Pihak Berkuasa di bawahnya pagi tadi mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Bertahlil yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.


Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Hadir mengetuai rombongan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha. 


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan seterusnya tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Awang Mohammad Adham bin Hashim.


Juga hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan MTIC serta jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.


Majlis antara lain merupakan aktiviti keagamaan tahunan yang dikendalikan oleh MTIC bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan Al-Mubarak serta memohon keberkatan dan ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Close