Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
KILANAS, Isnin, 2 Mac. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Pembukaan Tadarus sempena Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, petang tadi.
Majlis dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan bersama Jabatan Perikanan bertempat di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, Jalan Bebatik Kilanas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Ketua Kampung Bebatik Kilanas dan penduduk sekitarnya.
Sebelum memulakan bacaan tadarus, majlis didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf daripada Yang Berhormat kepada Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin berupa peralatan keperluan masjid.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh imam masjid, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara beramai-ramai sebelum disusuli dengan berbuka puasa dan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Majlis ini merupakan kegiatan keagamaan yang diadakan setiap tahun yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung, di samping mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia serta meraih ganjaran pahala dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala