Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 Mac. - Setiap tahun pada 3 Mac, seluruh masyarakat dunia termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD) bersatu dalam satu tujuan yang sama iaitu untuk mengangkat kepentingan kesihatan pendengaran sebagai asas kesejahteraan insan.
Hari Pendengaran Sedunia juga menekankan bahawa keupayaan untuk mendengar adalah asas kepada komunikasi, pembelajaran dan penyertaan penuh dalam kehidupan bermasyarakat.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan demikian dalam perutusan bersempena Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026.
Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, pada tahun ini, tema Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 memberikan tumpuan khusus kepada kanak-kanak (generasi masa depan negara) iaitu 'From communities to classrooms: hearing care for all children'.
Tema ini, tambah Yang Berhormat, mengingatkan kita bahawa penjagaan pendengaran tidak boleh terhad kepada klinik dan hospital sahaja tetapi ia mestilah bermula dari rumah dan diperkukuh di peringkat komuniti dengan sokongan oleh sistem kesihatan dan seterusnya dipastikan keberkesanannya di bilik darjah.
“Pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu inilah yang akan memastikan tidak ada kanak-kanak yang tercicir hanya kerana masalah pendengaran yang tidak dikesan dengan lebih awal," jelas Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat lagi, di peringkat global, dianggarkan seramai 90 juta kanak-kanak dan remaja hidup dengan masalah kurang pendengaran.
Sebahagian besar, tambah Yang Berhormat lagi, iaitu 60 peratus daripada keadaan ini sebenarnya boleh dicegah melalui langkah kesihatan awam yang mudah dan berkesan dari segi kos seperti mendapatkan imunisasi, pengurusan jangkitan telinga, amalan penjagaan telinga yang selamat serta perlindungan daripada bunyi bising yang berbahaya.
“Bagi seorang kanak-kanak, kelambatan dalam pengesanan masalah pendengaran bukan sekadar isu perubatan, tetapi ia boleh memberi kesan kepada perkembangan bahasa, pencapaian akademik, keyakinan diri dan seterusnya peluang masa depan mereka.
“Justeru, pengenalpastian awal dan intervensi tepat pada masanya bukanlah satu pilihan tetapi ia adalah satu keperluan," terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan di NBD, data yang diperoleh daripada Unit Audiologi menunjukkan bahawa jumlah kanak-kanak berumur antara 0 hingga 5 tahun yang dikenal pasti mengalami masalah kurang pendengaran telah mencatatkan peningkatan yang ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Peningkatan tersebut tambahnya adalah sebanyak 127 peratus, iaitu daripada 88 orang kanak-kanak pada tahun 2019 kepada 200 orang kanak-kanak pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, meskipun bilangan kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah kurang pendengaran adalah tinggi, tidak semuanya melibatkan kehilangan pendengaran jenis kekal.
“Terdapat sebahagian kanak-kanak yang menunjukkan pemulihan pendengaran dari semasa ke semasa, sama ada secara semula jadi, melalui rawatan perubatan atau intervensi pembedahan.
“Bagi kanak-kanak yang didiagnos dengan kehilangan pendengaran jenis kekal dan dikenal pasti berpotensi mendapat manfaat daripada penggunaan alat bantu pendengaran, peralatan tersebut akan dibekalkan secara percuma dengan serta merta oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sejak tahun 2019 hingga 2024, sebanyak 257 unit alat bantu pendengaran telah dibekalkan kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun," ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, NBD telah melangkah ke hadapan dengan melaksanakan liputan sejagat Program Saringan Pendengaran Anak Damit sejak Ogos 2023.
Melalui program ini, jelas Yang Berhormat, setiap anak damit berpeluang untuk menjalani saringan seawal tempoh neonatal iaitu di dalam fasa perkembangan yang paling kritikal bagi membolehkan rujukan, diagnosis dan intervensi dilaksanakan dengan segera, sekali gus mengurangkan risiko kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak.
Kongsi Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan juga telah mencatat satu pencapaian klinikal yang signifikan melalui kejayaan pembedahan implan koklea secara bilateral kepada seorang anak damit berusia 6 bulan, menjadikan NBD antara negara terawal di rantau ini yang melaksanakan intervensi tersebut pada usia yang sangat muda.
Kejayaan ini, jelasnya, bukan sekadar pencapaian teknikal tetapi simbol komitmen negara untuk memberikan peluang terbaik kepada setiap kanak-kanak.
“Bagi memastikan pengesanan pendengaran tidak terhenti di peringkat kelahiran sahaja, Perkhidmatan Kesihatan Sekolah dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan juga melaksanakan ujian saringan pendengaran secara berkala sebagai sebahagian daripada penilaian kesihatan rutin murid di sekolah-sekolah.
“Pengintegrasian saringan sistematik dan program intervensi awal dalam pelan kesihatan kanak-kanak dan kesihatan sekolah adalah penting bagi memastikan hasil yang lebih baik bagi kanak-kanak yang hidup dengan masalah telinga atau kurang pendengaran serta menyokong pembelajaran yang inklusif dan berkesan," terang Yang Berhormat.
Ujar Yang Berhormat, kajian antarabangsa jelas menunjukkan bahawa intervensi awal bukan sahaja memberi manfaat klinikal, malah berkesan dari segi kos dalam jangka masa yang panjang.
Pelaburan dalam saringan dan intervensi awal, tambah Yang Berhormat, mengurangkan keperluan sokongan pendidikan khas yang berpanjangan, meningkatkan keupayaan komunikasi dan pembelajaran, serta menyumbang kepada hasil sosioekonomi yang lebih baik sepanjang hayat. Hal ini adalah selaras dengan strategi kesihatan awam berasaskan pencegahan serta prinsip penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare).
Sempena Hari Pendengaran Sedunia 2026 ini, Yang Berhormat menyatakan Kementerian Kesihatan menggalakkan penglibatan berterusan daripada ibu bapa, penjaga, pendidik dan komuniti dalam menyokong penjagaan kesihatan pendengaran kerana setiap kanak-kanak berhak untuk mendengar, setiap kanak-kanak berhak untuk belajar dan setiap kanak-kanak berhak untuk mencapai potensi sepenuhnya.
“Marilah kita sama-sama memastikan bahawa daripada komuniti hingga ke bilik darjah, penjagaan pendengaran untuk semua kanak-kanak bukan sekadar aspirasi tetapi satu realiti," ujar Yang Berhormat.