Upacara Menurunkan Bendera Besar NBD





Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Februari. - Upacara Menurunkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) yang diadakan hari ini menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di seluruh negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) NBD Ke-42, Tahun 2026.


Upacara ini diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara, petang tadi.  


Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42, Tahun 2026.


Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa 'Allah Peliharakan Sultan dan NBD' oleh Imam Tingkat I, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop.


Seterusnya, penurunan bendera besar dilaksanakan oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei yang bergerak masuk dengan diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.


Upacara diteruskan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'. Bendera besar yang diturunkan kemudian diserahkan kepada tetamu kehormat bagi menandakan berakhirnya pengibaran bendera di seluruh negara secara rasmi.


Turut hadir ke upacara tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK NBD Ke-42, Tahun 2026.


Close