Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BELAIT, Isnin, 23 Februari. - Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam (NBD) Kali Ke-42, Tahun 2026 turut diadakan secara serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid di daerah-daerah lain juga sebagai tumpuan utama majlis.
Di Daerah Belait, masjid tumpuan utama ialah di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Pada majlis berkenaan, para jemputan yang hadir dan jemaah masjid bersama-sama menunaikan Sembahyang Fardu Zohor Berjemaah dan diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Imam masjid berkenaan, Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud.
Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Afiq Haririe.
Manakala, Doa Kesyukuran pula diketuai oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Aliyani bin Ismail.
Sambutan HK NBD Ke-42 pada tahun ini disambut agak istimewa kerana diadakan pada bulan suci Ramadan. Sambutan berbentuk keagamaan berkenaan adalah selaras dengan prinsip negara selaku sebuah Negara Zikir.
Dalam pada itu, sepanjang 42 tahun kemerdekaan berkenaan, NBD telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi dan pembangunan sosial.