Usaha mentransformasikan landskap ekonomi negara dipergiat



​​​​​

Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Februari. - Kita mengucapkan syukur, usaha mempelbagaikan ekonomi negara menerusi keutamaan Economic Blueprint terus dipergiat. Antaranya pembangunan ekosistem 'maritime' yang mendukung aktiviti 'transshipment' melalui penyediaan kawasan Ship-to-Ship Lay-up Designated Area.


Ini bukan sahaja mengurangkan kos logistik, malah berupaya meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat serantau serta berpotensi untuk membuka peluang-peluang ekonomi baharu.


Seiring dengan perkembangan teknologi global, negara juga turut memberikan perhatian kepada pembangunan pusat data berasaskan Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intelligence (AI).


Demikian antara titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Kali Ke-42, Tahun 2026, hari ini.


Selain membina keupayaan AI tempatan melalui usaha sama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tempatan, titah baginda, inisiatif ini juga dapat memperkukuh pembangunan teknologi strategik, memastikan keselamatan data dan memacu inovasi digital.


Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa aspek keselamatan makanan negara juga terus diberikan perhatian. Ini merangkumi kerjasama strategik serantau termasuk pembangunan zon makanan bersama antara NBD dan Republik Singapura melalui Brunei-Singapore Agri-Tech Food Zone.


“Kerjasama ini akan memperkukuhkan lagi rantaian bekalan makanan dan berpotensi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan tempatan bagi kedua-dua buah negara.


“Kerajaan beta juga terus mempergiat pertumbuhan dalam sektor-sektor pelancongan yang berfokuskan kepada ekopelancongan. Bidang ini adalah antara lain yang menjadi keutamaan agenda pembangunan negara menerusi pelancaran Tahun Melawat Brunei 2027 yang bertepatan dengan Sambutan Jubli Intan beta Menaiki Takhta pada tahun hadapan," titah baginda.  


Kesemua inisiatif ini, titah baginda lagi, termasuk yang digariskan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam mentransformasikan landskap ekonomi negara serta memastikan setiap elemen pembangunan ekonomi saling berkait dan menyokong antara satu sama lain bagi menghasilkan pertumbuhan yang inklusif dan mampan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.


“Beta menggesa para usahawan tempatan untuk memanfaatkan peluang ini sebaiknya selain terus berganding bahu dengan kerajaan dalam merancakkan lagi aktiviti-aktiviti perekonomian negara.


Sebagai dukungan ke arah ini, titah baginda, sistem pendidikan negara perlu terus melalui proses penambahbaikan yang strategik untuk melahirkan bakat-bakat muda yang bukan sekadar menguasai ilmu pengetahuan malah menjadi usahawan-usahawan yang berkemahiran.


Terdahulu dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya juga, dapat meraikan Sambutan Hari Kebangsaan NBD Kali Ke-42 dengan tema 'Bersatu Mencapai Cita Negara'.


“Sambutan kali ini sangat istimewa kerana bertepatan dengan bulan Ramadan Al-Mubarak. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan dan puasa Ramadan tidak akan menjadi kenyataan tanpa pengorbanan, kesabaran dan keikhlasan hati kita. Sambil itu, kita juga terus membina semangat membangun ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dan negara," titah baginda.


Sempena Hari Kebangsaan ini, baginda menyeru kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam, swasta dan rakyat serta penduduk NBD, khasnya golongan belia, untuk terus meningkatkan dan menyemarakkan semangat patriotisme melalui penglibatan aktif dalam komuniti dan aktiviti kemasyarakatan.


“Akhirnya, beta sukacita merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas-petugas serta ahli-ahli jawatankuasa yang sama-sama terlibat menjayakan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-42 pada tahun ini, dalam suasana sambutan yang berbeza namun tetap bermakna.


“Sekali lagi, beta merakamkan ucapan terima kasih dan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di dalam dan di luar negeri dengan iringan doa semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua, Amin," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri Titah Perutusan.


Close