Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Februari. - Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2026 memperlihatkan pendekatan yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun diraikan setiap tahun pada 23 Februari sebagai tanda memperingati Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam, suasana dan pengisian acara menunjukkan kelainan yang ketara pada tahun ini.
Perbezaan yang paling signifikan ialah sambutan pada tahun 2026 berlangsung dalam bulan suci Ramadan. Keadaan dan waktu ini secara langsung mempengaruhi bentuk dan perjalanan acara.
Jika sebelum ini sambutan lebih tertumpu kepada perhimpunan besar, perarakan dan persembahan patriotik, namun pada tahun ini menampilkan pendekatan yang lebih kepada kesederhanaan dan berunsur kerohanian serta keagamaan bagi menghormati bulan Ramadan yang penuh berkah.
Selaras dengan prinsip negara selaku sebuah negara yang sentiasa mengharapkan taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala serta keberkatan-Nya, beberapa acara keagamaan akan diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.
Majlis utama bagi meraikan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42 ialah Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran yang akan diadakan pada Isnin, 5 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 23 Februari 2026 Masihi bermula pada pukul 11.30 pagi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong sebagai tumpuan utama.
Majlis Kesyukuran tersebut akan diadakan secara serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Di Daerah Belait, tumpuan utama adalah di Masjid Mohammad Jamalul Alam, manakala tumpuan utama di Daerah Tutong adalah di Masjid Hassanal Bolkiah; manakala di Daerah Temburong, tumpuan utama adalah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Secara keseluruhannya, perbezaan utama sambutan pada tahun ini terletak pada konteks keadaan dan waktunya kerana pada tahun ini Sambutan Hari Kebangsaan berlangsung dalam bulan Ramadan.
Manakala pada tahun sebelumnya lebih menampilkan suasana perayaan yang berskala besar dan dirayakan dengan penuh kemeriahan. Akan tetapi perbezaan sambutan pada tahun ini dan sebelumnya tetap mencerminkan semangat cintakan negara melalui pendekatan yang berbeza mengikut dengan kesesuaian dengan keadaan dan waktu Sambutan Hari Kebangsaan berlangsung.