Pembukaan Tadarus di Istana Nurul Iman





Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 Februari. - Majlis Tadarus Malam-malam Bulan Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Istana Nurul Iman bagi malam pertama diadakan secara berasingan di Surau Istana Nurul Iman dengan kehadiran lebih 800 orang.


Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), CP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin. Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang yang juga mengimamkan Sembahyang Sunat Witir. Manakala, Sembahyang Sunat Tarawih Berjemaah diimamkan oleh Awang Muhammad Abu Hurairah bin Ariffin.


Seterusnya, majlis juga diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Hidupkan Bulan Ramadan Dengan Asmaul Husna : Ar-Rahman (Yang Maha Penyayang)', masing-masing disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang di ruangan jemaah lelaki, manakala di ruang jemaah perempuan disampaikan oleh Pegawai Ugama, PDI, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan bacaan Tadarus Al-Quran dan kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.


Turut hadir, pegawai-pegawai dan anggota-anggota beruniform terdiri daripada ABDB, PPDB, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pegawai-pegawai dan guru ugama dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Close