Berkenan sertai Kempen Kebersihan Pantai Program Pemuliharaan Penyu LAUT Brunei



Siaran Akhbar dan Foto : Poni Group Sendirian Berhad

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Februari. - Sebanyak 723 kilogram sisa buangan laut dikumpulkan di Pantai Tanjung Batu baru-baru ini pada pelancaran rasmi Kempen Kebersihan Pantai Program Pemuliharaan Penyu LAUT Brunei.


Turut berangkat menyertai kempen tersebut, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman. Juga menyertai, anakanda-anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.


Program tersebut menandakan permulaan siri bulanan berstruktur di bawah Program Pemuliharaan Penyu LAUT Brunei 10 Tahun, sebuah inisiatif pemuliharaan kebangsaan berteraskan komuniti yang bertujuan melindungi pantai pendaratan penyu serta membangunkan ekonomi pemuliharaan yang mampan di sekitarnya.


Seramai 60 sukarelawan menyertai aktiviti tersebut, terdiri daripada anggota komuniti setempat serta tenaga pengajar, pelajar dan keluarga dari Miftah Ahn-Nur Islamic International School.


Selain pembersihan pantai, program ini mengintegrasikan empat teras utama iaitu penglibatan dan pendidikan komuniti, pemantauan saintifik serta perlindungan pantai, penubuhan pusat penetasan penyu serta pusat penyelamatan dan rehabilitasi, dan mewujudkan laluan mata pencarian mampan yang berkaitan dengan pemuliharaan.


Kawasan pesisiran Negara Brunei Darussalam diiktiraf sebagai tapak pendaratan penting bagi penyu Olive Ridley di Borneo, menjadikan perlindungan habitat sebagai keutamaan nasional dan serantau.


Sisa buangan laut, pencemaran kawasan pesisiran serta kemusnahan habitat merupakan ancaman utama terhadap keberhasilan pendaratan penyu.


Setelah mengenal pasti Pantai Tanjung Batu sebagai tapak pendaratan mesra penyu, pembersihan pantai bulanan ini dilaksanakan bagi memastikan penyu terus mempunyai kawasan pendaratan yang selamat.


Semua sisa yang dikutip akan dikategorikan dan direkodkan bagi menyumbang kepada pemantauan alam sekitar jangka panjang, sekali gus membantu dalam perumusan dasar, strategi pengurusan pantai dan perancangan pemuliharaan masa hadapan.


LAUT Brunei merupakan singkatan kepada 'Looking After Underwater Treasures of Brunei', sebuah inisiatif pemuliharaan marin di bawah Poni Foundation yang disokong oleh Poni Group. Misinya adalah untuk memelihara hidupan marin, terumbu karang dan kapal karam Brunei demi generasi akan datang melalui sains komuniti, teknologi dan projek kerjasama.


LAUT Brunei menggariskan bahawa Program Penyu bukan sekadar melindungi penyu, malah memperkasa masyarakat. Melalui pembersihan komuniti berkala, inisiatif sains komuniti, sesi jangkauan sekolah dan program latihan belia, inisiatif ini bertujuan meningkatkan literasi lautan serta melahirkan generasi baharu penjaga alam marin. Pelajar dan sukarelawan berpeluang menyertai pemantauan sarang, pengumpulan data, sokongan penandaan (apabila dibenarkan) serta aktiviti pemulihan habitat di bawah bimbingan pasukan pemuliharaan terlatih.


Komponen utama program ini ialah pembangunan yang dirancang bagi sebuah Pusat Penetasan Penyu dan Pusat Rehabilitasi Hidupan Marin khusus, yang akan berfungsi sebagai hab penyelidikan, pendidikan awam dan pembangunan kapasiti. Kemudahan ini dirangka sebagai sebahagian daripada kerangka pemuliharaan marin yang lebih luas, menghubungkan sains, teknologi dan penyertaan komuniti, serta menyumbang kepada matlamat jangka panjang biodiversiti dan daya tahan iklim NBD.


Sebagai fokus utama, Program Penyu ini distrukturkan untuk menjana mata pencarian mampan seiring dengan hasil pemuliharaan. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dalam bidang seperti pengawasan pantai, operasi pusat penetasan, pemandu ekopelancongan, pengumpulan data dan pemulihan habitat. Dengan mengiktiraf peranan komuniti pesisir sebagai penjaga pantai pendaratan, program ini berusaha menyelaraskan insentif pemuliharaan dengan peluang ekonomi demi memastikan kelestarian jangka panjang.


ASTARI turut menyokong Program Penyu melalui teknologi marin inovatif bagi pemerhatian dan penjejakan hidupan liar, manakala satu lagi projek LAUT Brunei, Project BEACON, iaitu projek pemerhatian pesisir dan lautan, menyokong usaha ini melalui penggunaan dron dan kecerdasan buatan untuk mengenal pasti tapak pendaratan berpotensi.


Pembersihan pantai bulanan ini akan menjadi platform utama penglibatan awam dalam Rangkaian Penjagaan Hidupan Marin yang lebih luas, menggalakkan keluarga, sekolah, kumpulan korporat dan penduduk tempatan untuk memainkan peranan aktif dalam melindungi warisan semula jadi NBD.


Kempen Kebersihan Pantai Program Penyu seterusnya akan diadakan pada 14 Mac 2026. Orang ramai adalah digalakkan untuk mengikuti '@LAUTBrunei' di Instagram dan Facebook bagi mendapatkan maklumat terkini serta berpeluang menjadi sukarelawan.


Close