Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin
GADONG, Isnin, 16 Februari. - Seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta keluarga dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan Selamat Hari Puja Usia Ke-52 Tahun Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Justeru, PPDB mengadakan Majlis Santap bersempena Sambutan Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kali ini yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.
Berkenan berangkat ke majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Juga berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berserta kerabat diraja, di sini dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis, CP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin dan Datin serta Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia DCP Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan isteri.
Sejurus keberangkatan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan, diikuti dengan bergambar ramai bersama pengarah-pengarah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Mes Pegawai PPDB.
Sesudah memasuki Dewan Bankuet, DYTM kemudiannya dijunjung untuk acara memotong Kek Puja Usia sambil diiringi nyanyian puja usia daripada Pasukan Koir terdiri daripada Pegawai-pegawai PPDB. Pada majlis tersebut, DYTM juga seterusnya berkenan dijunjung untuk menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis.
DYTM dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung ke pentas bankuet bagi Majlis Santap.
Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Majlis tersebut menzahirkan semangat perpaduan, taat setia dan penghormatan warga PPDB terhadap institusi diraja serta kepimpinan negara dan seluruh warga PPDB berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga akan sentiasa melimpahkan kurnia kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan kepada DYTM berserta kerabat diraja.




