Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Februari. - Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum hari ini mengadakan Majlis Penutup Perkampungan Rohani Sekolah-sekolah Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Senegara Kali Ke-5 Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Dewan Kuliah, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Perkampungan berkenaan telah diadakan selama dua hari, pada 13 dan 15 Februari 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil sekolah yang menyertai perkampungan berkenaan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.
Seramai 94 peserta terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan daripada sekolah menengah, maktab serta pusat tingkatan enam daripada 13 buah sekolah kerajaan dan swasta menyertai perkampungan berkenaan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang dikendalikan setiap tahun.
Antara aktiviti-aktiviti yang dikendalikan pada perkampungan berkenaan ialah khidmat kemasyarakatan, aktiviti kerja berpasukan, dan ceramah motivasi.
Objektif perkampungan berkenaan antara lain adalah untuk mendidik para pelajar agar menghayati amalan kehidupan Islami di samping menanam semangat kebangsaan dan patriotisme yang lebih kukuh dalam diri mereka.
Selain itu, program berkenaan juga dihasratkan dapat menggalakkan para pelajar untuk tampil ke hadapan dalam berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran secara lebih yakin dan berkesan.