Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Februari. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kilanas telah menganjurkan Majlis Penyerahan Program Kongsi Rezeki kepada asnaf fakir dan miskin khusus bagi penduduk Kampung Kilanas, bertempat di masjid berkenaan.
Majlis juga diselajurkan dengan Majlis Khatam Al-Quran bagi Masjid Kampung Kilanas dan Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung bagi Kampung Kilanas bersempena menyambut bulan Ramadan 1447 Hijrah yang akan tiba.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas; Penghulu Mukim Kilanas, Ketua Kampung Kilanas, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas dan penduduk-penduduk kampung.
Tujuan utama acara berkenaan diadakan adalah bagi membantu para penduduk kampung terutama sekali para asnaf fakir dan miskin dalam Kampung Kilanas untuk persediaan awal menjelang bulan Ramadan 1447H.
Seramai 47 buah keluarga menerima sumbangan berbentuk makanan asasi seperti beras, gula, minyak masak dan lain-lain lagi.
Semua barangan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada penduduk kampung dan orang ramai.